Elak hasutan, kebencian demi perpaduan kaum - PM

Elak hasutan, kebencian demi perpaduan kaum – PM

ANWAR Ibrahim (tengah) pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN: Semua rakyat perlu menggunakan pendekatan berhemah dalam menyelesaikan sesuatu isu yang timbul tanpa membabitkan elemen hasutan atau kebencian demi memastikan perpaduan kaum di negara ini terus terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika pendekatan itu terus diamalkan, kestabilan negara akan kekal tanpa sebarang kepincangan.

“Jadi, kalau orang atas menghasut, orang bawah membenci, akhirnya akan timbul ketegangan. Mereka kata: ‘Jaga orang Melayu’. Tapi, harta pula diagih sesama mereka.

“Kita bukan mahu abaikan Melayu, kita jaga Melayu. Kita juga jaga Cina, India, Iban, Kadazan. Mereka semua rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K.Saraswathy.

Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara bagi tujuan pelaksanaan program-program kenegaraan untuk generasi muda.

Sementara itu, Aaron memberitahu, Kementerian Perpaduan Negara sedang merangka pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan pada tahun depan.

Katanya, antara pendekatan inovatif yang akan diperkenalkan adalah berkonsepkan ‘2 dalam 1″ di peringkat negeri yang merujuk kepada penggabungan antara Sambutan Minggu Perpaduan dengan sambutan perayaan budaya etnik minoriti di negeri masing-masing.

“Pendekatan ini mengiktiraf warisan etnik minoriti dan membuka ruang kepada rakyat untuk menghargai kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.

“Sebagai contoh, etnik Siam di Perak dikenali dengan Pesta Songkran, Melanau di Sarawak (Pesta Kaul); Rungus, Sabah (Pesta Magahau); Temiar, Kelantan (Sambutan Orang Asal) dan Bugis di Johor dengan perayaan Pesta Lepa-Lepa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×