Turun had umur belia: Suara golongan muda semakin mengecil?

Turun had umur belia: Suara golongan muda semakin mengecil?

TUJUAN utama pindaan had umur belia adalah untuk memastikan program pembangunan belia lebih relevan kepada golongan muda yang sedang membina kerjaya dan kehidupan, selain memastikan selaras dengan amalan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh kurang enam bulan, Malaysia bakal menyaksikan pelaksanaan pindaan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. Pindaan ini adalah selaras dengan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602], yang antara lain bertujuan menyelaraskan definisi belia negara dengan piawaian antarabangsa. Pindaan ini akan memberikan kesan kepada 8,272 pertubuhan belia berdaftar di seluruh negara.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hanya 865 pertubuhan atau 10 peratus telah membuat pindaan perlembagaan bagi menyesuaikan dengan had umur baharu. Hakikatnya, pindaan had umur belia ini telah mula dibincangkan sejak tahun 2019 dan mengalami penangguhan sebanyak dua kali sebelum tarikh pelaksanaannya dimuktamadkan.

Tujuan utama pindaan ini adalah untuk memastikan program pembangunan belia lebih relevan kepada golongan muda yang sedang membina kerjaya dan kehidupan, selain memastikan selaras dengan amalan antarabangsa.

Sebagai perbandingan, had umur belia di beberapa negara lain adalah berbeza dari Malaysia. Misalnya di Indonesia dan Filipina had umur belia adalah 30 tahun. Sedangkan di Thailand, Korea dan Australia pula had umur belia adalah 24 tahun. Justeru, sekiranya dibandingkan secara angka, had umur belia Malaysia yang berusia 40 tahun adalah antara yang tertua.

Namun, dalam menentukan had umur belia layak diturunkan atau tidak, ia sebenarnya dipengaruhi pelbagai faktor, terutamanya ketersediaan ekosistem untuk ‘menyambut’ had belia umur 30 tahun. Ini berikutan rata-rata belia di Malaysia akan menamatkan pengajian di peringkat tertinggi sekitar umur 23 hingga 24 tahun yang menjadikan baki enam tahun sahaja sebelum seseorang itu tidak lagi bergelar belia. Perubahan ini memperlihatkan ketersediaan pemimpin belia akan datang memastikan penglibatan aktif dan berkesan terutama dalam pembuatan dasar serta keputusan yang melibatkan orang muda.

Begitu juga bagi pertubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang sebenarnya telah wujud sebelum Akta Pertubuhan Belia 2007 [Akta 668} digubal. GPMS misalnya cenderung kepada isu pendidikan Melayu akan terkesan secara langsung dengan pindaan ini. Ini bukanlah bermaksud untuk meragui kepimpinan yang akan datang tetapi fikrah matlamat GPMS adalah menjurus kepada pendidikan orang Melayu sebagaimana yang diasaskan oleh pengasas GPMS pada tahun 1948.

Lantaran itu, pertubuhan-pertubuhan belia yang lama tertubuh sebelum penggubalan Akta 668 berada di persimpangan sama ada untuk terus kekal sebagai pertubuhan belia ataupun menjadi pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Ini memandangkan teras pertubuhan seperti GPMS tidak hanya menjurus kepada belia tetapi kepada hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar Melayu.

GPMS telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang diwujudkan untuk membincangkan isu pendidikan dan pelajar Melayu. Isu pendidikan yang melibatkan kebajikan orang Melayu masih lagi wujud dan perlu disantuni. GPMS juga pertubuhan pendidikan Melayu tunggal yang selalu berhadapan dengan pertubuhan-pertubuhan yang cuba menganggu gugat tiang seri negara serta kedudukan bahasa Melayu.

KBS telah membuat penegasan bahawa pelaksanaan tetap akan diteruskan pada tarikh yang ditetapkan. Tiada lagi pusingan-U yang akan dilakukan. Tetapi sekiranya mengambil asas kebimbangan badan-badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) misalnya ketersediaan ekosistem belia, angka belia yang berumur 15 hingga 30 tahun yang masih menganggur seramai 400,000 serta 3.1 juta belia dalam ekonomi gig, pelaksanaan had umur ini masih membimbangkan.

Isu pendidikan yang melibatkan belia-belia Melayu serta tekanan kos sara hidup masih lagi serius. Isu serta persoalan ini memerlukan pandangan pemegang taruh seperti MBM untuk memberikan pandangan berkenaan dasar dan keberkesanan polisi yang diamalkan ke golongan sasar. Oleh yang demikian, konteks yang lebih besar adalah kehilangan pandangan yang bersifat lokal yang mampu membawa dan membincangkan isu-isu yang dekat dengan masyarakat.

Majlis Perundingan Belia yang berada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan adalah satu-satunya wadah formal bagi belia menyuarakan pandangan dan mendapat maklum balas daripada pihak kerajaan. Untuk membawa idea ini pula perlulah dilakukan dengan penuh berhikmah disulami fakta dan tidak hanya bersifat retorik semata-mata. Tujuannya adalah untuk menyuarakan pandangan akar umbi seterusnya bagi kerajaan memperbaiki insentif.

Tuntasnya, KBS perlu mengambil kira cabaran yang akan datang selepas tahun 2028. Kerajaan memerlukan rakan kongsi yang boleh membawa suara dan pandangan rakyat tanpa memakai baju-baju politik.

Sekiranya jujur, ikhlas dan berintegriti pandangan tersebut, pihak kerajaan jua yang mendapat manfaat yang akhirnya dapat dirasai oleh masyarakat. MBM serta badan-badan gabungan MBM juga telah melahirkan ramai pemimpin negara seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lahir dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang seterusnya menjadi Presiden MBM dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lahir dari GPMS. – UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×