Kes keganasan rumah tangga Terengganu tinggi tahun lalu

Kes keganasan rumah tangga Terengganu tinggi tahun lalu

NORAINI Ahmad (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama hadirin pada Program Aku Wanita@KRT : Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga di Terengganu Equastrian Resort, Kuala Ibai, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 2,467 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara sehingga April tahun ini dengan tahun lalu sahaja sejumlah 7,116 kes dilaporkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, statistik tersebut berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terengganu mencatatkan kadar tertinggi mengikut nisbah penduduk dengan 379 kes pada tahun lalu, iaitu pada kadar 0.03, tertinggi di Malaysia. Bagi tahun ini, sebanyak 104 kes telah dilaporkan di Terengganu sehingga April, berbanding 130 kes dalam tempoh sama pada 2024

“Walaupun berlaku sedikit penurunan, angka tersebut masih membimbangkan kerana kita percaya ramai mangsa belum tampil membuat laporan akibat takut, malu atau tidak tahu saluran untuk mendapatkan bantuan,” katanya selepas merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) di sini, hari ini.

Melalui program Aku Wanita@KRT, isu-isu keganasan rumah tangga dibincangkan secara mendalam dengan melibatkan pakar, kaunselor serta ‘pemandiri’ – iaitu bekas mangsa yang kini bangkit meneruskan kehidupan.

Noraini berkata , terdapat kes mangsa tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya adalah mangsa keganasan rumah tangga.

“Ini berlaku apabila pemikiran mereka dimanipulasi secara halus oleh pelaku, sehingga mereka mula meragui ingatan, persepsi dan kewarasan diri sendiri. Bentuk penderaan sebegini meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi mangsa, terutama wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Menurut beliau, kementerian terus memperkukuh program pencegahan, perlindungan dan pemulihan supaya tiada mangsa yang tercicir daripada sistem sokongan yang ada.

“Antara inisiatif sokongan yang diperkenal adalah sesi intervensi psikologi berkumpulan yang dikenali sebagai K-Chat,  melibatkan kaunselor dan fasilitator terlatih bagi membantu mangsa memulihkan semula harga diri dan kekuatan emosi mereka.

“Komitmen masyarakat, kesedaran dan keprihatinan semua pihak amat penting dalam usaha membanteras keganasan ini dari akar umbi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini