WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membenarkan pentadbiran Presiden, Donald Trump meneruskan rancangan membubarkan Jabatan Pendidikan bagi memperluas usaha mengurangkan peranan kerajaan Persekutuan dalam bidang tersebut dan mengembalikan kuasanya kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, tindakan itu dikhuatiri melambatkan bantuan kewangan Persekutuan kepada sekolah-sekolah berpendapatan rendah serta projek pendidikan khas, sekali gus menyebabkan pengurangan tenaga kerja dan pembatalan banyak program penting untuk perkembangan pelajar.
Pakar turut memberi amaran langkah itu boleh menjejaskan penguatkuasaan hak sivil, pemantauan prestasi pelajar serta sistem bantuan kewangan kolej.
Keputusan tersebut dibuat melalui perintah ringkas tanpa tandatangan, dengan tiga hakim liberal mahkamah membantah.
Tindakan ini membatalkan arahan terdahulu oleh seorang hakim Persekutuan yang mengembalikan hampir 1,400 pekerja selepas pemecatan besar-besaran dan menghalang pemindahan tanggungjawab utama jabatan tersebut ke agensi lain.
Kumpulan undang-undang liberal Democracy Forward, yang mewakili beberapa daerah sekolah dan kesatuan guru, menyifatkan keputusan itu sebagai ‘tamparan hebat’ terhadap janji pentadbiran negara untuk menyediakan pendidikan awam kepada semua golongan kanak-kanak.
“Kami akan terus mengambil semua langkah undang-undang yang ada untuk memastikan semua kanak-kanak di negara ini mendapat akses kepada pendidikan awam yang berhak mereka terima,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Skye Perryman.
Tindakan undang-undang ini dibawa oleh gabungan 21 peguam negara Demokrat, daerah sekolah dan kesatuan pekerja yang mendakwa pembubaran jabatan itu akan menjejaskan keupayaannya melaksanakan tugas-tugas penting.
Jabatan Pendidikan, yang ditubuhkan oleh Kongres pada tahun 1979, bertanggungjawab mengurus pinjaman kolej, memantau pencapaian pelajar, dan menguatkuasakan hak sivil di sekolah-sekolah.
Ia juga menyalurkan bantuan Persekutuan bagi menyokong pelajar kurang upaya dan daerah-daerah yang kekurangan dana.
Walaupun undang-undang Persekutuan menghalang jabatan ini daripada mengawal kurikulum, kakitangan atau kaedah pengajaran, pemimpin Republikan sudah lama menganggapnya sebagai simbol birokrasi yang tidak menguntungkan.
Pada Mac lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menutup Jabatan Pendidikan sejauh mana yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Kita akan kembalikan pendidikan kepada negeri-negeri, di mana ia sepatutnya berada,” tegasnya.
Trump berjanji mengekalkan program penting seperti geran Pell dan bantuan kepada pelajar miskin serta pelajar berkeperluan khas, yang menurutnya akan dipindahkan ke agensi lain seperti Pentadbiran Perniagaan Kecil (SBA) dan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS).
Perintah itu turut mengarahkan pemindahan portfolio pinjaman pelajar bernilai AS$1.6 trilion (RM6.8 trilion) kepada SBA, manakala perkhidmatan pendidikan khas dipindahkan ke HHS.
Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon mengumumkan rancangan untuk mengurangkan separuh jumlah kakitangannya sebagai sebahagian daripada strategi mengurangkan saiz jabatan itu tanpa perlu kelulusan Kongres.
Pada Isnin, McMahon menyambut baik keputusan Mahkamah Agung sebagai kemenangan besar buat pelajar dan keluarga, malah menulis di media sosial menegaskan jabatan itu kini akan melaksanakan mandat untuk mengembalikan kecemerlangan dalam pendidikan AS.
BEKU DANA PENDIDIKAN
Sementara itu, lebih 24 negeri di AS mengambil tindakan undang-undang terhadap pentadbiran Trump selepas kerajaan Persekutuan membekukan dana pendidikan berjumlah AS$6.8 bilion (RM28.91 bilion) yang sudah diluluskan Kongres.
Kelmarin, seramai 23 peguam negara dan dua gabenor memfailkan saman di Rhode Island, menegaskan keputusan membekukan dana tersebut adalah bertentangan dengan undang-undang dan melanggar Perlembagaan.
Dana yang dibekukan itu termasuk peruntukan untuk pendidikan anak-anak pekerja ladang migran, pengambilan dan latihan guru, program pembelajaran bahasa Inggeris, pengayaan akademik, serta program selepas sekolah dan musim panas.
Dana untuk program celik huruf dewasa dan latihan kemahiran pekerjaan juga turut dibekukan.
“Ini bukan soal Demokrat atau Republikan, dana ini sudah diluluskan oleh Kongres untuk pendidikan anak-anak di Kentucky, dan menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan kita menerimanya.
“Sebanyak AS$96 juta (RM408 juta) dana pendidikan Persekutuan untuk Kentucky kini terancam. Masa depan anak-anak kita bergantung kepada sistem pendidikan yang kukuh dan dana ini sangat penting untuk memastikan kejayaan mereka,” kata Gabenor Kentucky, Andy Beshear dalam satu kenyataan.
Mengikut undang-undang, kerajaan Persekutuan perlu menyalurkan dana tersebut kepada negeri-negeri selewat-lewatnya pada 1 Julai.
Namun, pada 30 Jun lalu, Jabatan Pendidikan Persekutuan memaklumkan tidak akan mengeluarkan pemberian geran seperti yang dijadualkan atas alasan perubahan dalam pentadbiran.
Sekolah-sekolah di kawasan yang dikuasai Republikan paling terkesan akibat pembekuan dana tersebut dengan beberapa pegawai parti itu termasuk Penyelia Pendidikan Georgia, Richard Woods mengkritik tindakan pentadbiran Trump.
Menurut analisis kumpulan pemikir New America, 91 daripada 100 daerah sekolah yang menerima bantuan pelajar paling tinggi daripada empat program geran yang dibekukan terletak di kawasan wakil rakyat Republikan.
Sementara itu, Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) berkata, penangguhan ini merupakan sebahagian daripada semakan menyeluruh bagi memastikan dana berkenaan tidak digunakan untuk agenda radikal sayap kiri. – AGENSI










