DALAM landskap antarabangsa yang semakin kompleks dan berpecah-belah, keupayaan untuk menjalin hubungan yang strategik, menyatukan pelbagai kuasa besar ke meja rundingan, serta menyuarakan prinsip keadilan dan kedaulatan serantau adalah tanda aras seorang diplomat yang unggul.
Dalam konteks ASEAN hari ini, Datuk Seri Mohamad Hasan muncul sebagai figura yang bukan sahaja berwibawa, tetapi membuktikan bahawa Malaysia masih memiliki suara yang berpengaruh di peringkat serantau dan global.
Salah satu pencapaian paling gemilang semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 (AMM-58) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Julai 2025 ialah kejayaan memperkukuhkan hubungan ASEAN dengan pihak luar (external partners).
Di bawah kelolaan beliau, ASEAN bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan rakan sedia ada tetapi juga memperluaskan prospek kerjasama baharu. Beliau memimpin keputusan strategik ASEAN untuk menyemak semula status Rakan Dialog, membuka ruang untuk hubungan lebih selektif, berimpak tinggi dan selari dengan ASEAN Community Vision 2045.
Ini menunjukkan keupayaannya untuk memperbaharui struktur diplomatik ASEAN, menjadikannya lebih responsif terhadap cabaran masa depan.
Usahanya dalam mengarusperdanakan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP) atau Wawasan ASEAN mengenai Indo-Pasifik, mengembangkan Practical Cooperation Areas (PCA) atau Bidang Kerjasama Praktikal, dan Comprehensive Strategic Partnership (CSP) atau Perkongsian Strategik Komprehensif menunjukkan Malaysia berada di tengah-tengah rangkaian diplomatik serantau yang berkembang pesat.
Begitu juga kejayaan AMM-58 memacu kerjasama dengan entiti global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Pelan Tindakan ASEAN-PBB 2026–2030 (ASEAN–United Nations Plan of Action 2026–2030) dan inisiatif Complementarities 2.0, Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council – GCC), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi (Economic Cooperation Organisation – ECO), Pakatan Pasifik (Pacific Alliance), Persatuan Negara-Negara Lingkaran Lautan Hindi (Indian Ocean Rim Association – IORA) dan Forum Negara-Negara Kepulauan Pasifik (Pacific Islands Forum – PIF) adalah bukti keupayaan ASEAN dalam membina jaringan kerjasama global yang luas dan relevan.
AMM-58 turut mencatat kejayaan besar apabila ASEAN mengeluarkan satu ketetapan penting bertajuk “ASEAN Foreign Ministers’ Decision on Enhancing ASEAN Relations with External Parties.
Dalam keputusan tersebut, ASEAN menegaskan semula peranan penting Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam memastikan ketekalan dan kesepaduan hubungan luar ASEAN. ASEAN turut mengingatkan bahawa pada AMM ke-54 pada 2 Ogos 2021, para menteri telah memutuskan untuk memulakan semakan komprehensif terhadap moratorium ke atas permohonan Rakan Dialog baharu, sejajar dengan pembangunan Visi Komuniti ASEAN Pasca 2025.
Dalam mendepani cabaran geopolitik dan geoekonomi semasa, ASEAN beriltizam menegakkan prinsip ASEAN Centrality dengan memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama dalam mengurus hubungan dengan rakan luar. ASEAN juga bersetuju bahawa sebarang kerjasama luar harus mengutamakan kepentingan dan keutamaan sebenar ASEAN serta menghasilkan impak yang nyata dan strategik, bukannya semata-mata kerjasama yang luas tetapi longgar.
Untuk menjayakan langkah ini, ASEAN bersetuju untuk memberi mandat kepada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (ASEAN SOM) supaya meneruskan kajian terhadap status Dialog Partners, termasuk moratorium semasa.
Sekretariat ASEAN turut ditugaskan untuk menyediakan satu Kertas Penilaian Komprehensif mengenai semua perkongsian formal ASEAN dengan mengambil kira semua panduan dan prosedur sedia ada daripada mekanisme sektoral yang berkenaan. Semakan ini akan dirangka berasaskan dokumen strategik utama ASEAN seperti Visi Komuniti ASEAN 2045 dan pelan strategik berkaitan, supaya segala perkongsian yang diwujudkan benar-benar menyokong matlamat jangka panjang rantau ini.
AMM-58 turut mengesahkan kejayaan dalam pelbagai bidang hubungan ASEAN dengan rakan luar. ASEAN berjaya mengukuhkan CSP bersama Korea Selatan dan merancang pelancaran CSP dengan New Zealand sempena ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-New Zealand.
ASEAN juga sedang menyediakan Pelan Tindakan (POA) baharu bagi tempoh 2026–2030 bersama rakan-rakan seperti Kanada, China, India, Jepun, Korea Selatan, Rusia dan PBB.
Dalam aspek kerjasama praktikal, ASEAN memperbaharui dan melanjutkan PCA dengan Brazil, Turkiye, UAE, Pakistan, Afrika Selatan, Chile, Belanda dan Peru. Negara-negara ini bukan sahaja menunjukkan komitmen terhadap ASEAN, tetapi turut memainkan peranan aktif dalam pembangunan mampan, inovasi digital dan keselamatan makanan serantau.
ASEAN juga menerima sokongan menyeluruh terhadap pelaksanaan AOIP, termasuk dalam empat bidang keutamaan — maritim, konektiviti, pembangunan mampan dan ekonomi digital. ASEAN dan Jepun akan memeterai satu kenyataan bersama mengenai AOIP pada Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2025.
Sepanjang AMM ke-58, Mohamad Hasan mempengerusikan sebanyak 21 mesyuarat rasmi antara ASEAN dan rakan luar selain menjalin 15 pertemuan dua hala dengan negara-negara yang memainkan peranan penting dalam ekonomi, politik dan keselamatan global, suatu jumlah yang luar biasa dalam tempoh singkat.
Beliau berjaya mengurus dinamika dan sensitiviti pelbagai negara, termasuk kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun tanpa mengorbankan prinsip ASEAN Centrality.
Kesimpulannya, di bawah pimpinan Mohamad, AMM-58 berjaya mengangkat ASEAN ke satu tahap baharu dalam hubungan antarabangsa.
Usaha menyeluruh dalam memperkukuh hubungan luar, ditambah pula dengan keputusan strategik mengenai reformasi rakan dialog dan penyesuaian dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, menjadikan AMM-58 sebagai titik perubahan penting dalam hala tuju diplomasi serantau.
Diplomat Par Excellence membawa makna seseorang yang mencapai kecemerlangan luar biasa dalam menjalankan tugas diplomatik, bukan sekadar dari segi protokol dan dasar luar, tetapi juga dari segi karisma, kepimpinan, kemampuan membina konsensus serta keupayaan membaca realiti geopolitik semasa dengan cermat dan berstrategi. Atas semua ini tidak keterlaluan dirumuskan bahawa Mohamad Hasan wajar diberi pengiktirafan tersebut.

Penulis ialah Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) merangkap Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).-UTUSAN











