Terpaksa jalan 15km, daki bukit untuk dapat internet

Terpaksa jalan 15km, daki bukit untuk dapat internet

PENDUDUK menunjukkan menara telekomunikasi di Kampung Sungai Relai, Gua Musang, Kelantan yang tidak beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk dan pekerja ladang di Kampung Sungai Relai di sini, mendakwa mereka terpaksa berjalan sejauh 15 kilometer (km) dan kemudian mendaki bukit semata-mata untuk mendapatkan liputan rangkaian telefon dan internet.

Dakwa mereka, ia selepas menara telekomunikasi di kawasan itu tidak berfungsi lebih 10 tahun lalu.

Wakil penduduk, Azrul Az­har, 39, berkata, situasi itu menyebabkan mereka berisiko ber­depan ancaman haiwan liar seperti gajah, harimau kumbang dan harimau belang.

“Jika ada kecemasan, penduduk terpaksa meminta bantuan daripada pihak pengurus ladang untuk membawa mereka keluar untuk dihantar ke hospital atau membuat laporan polis.

“Masalah rangkaian internet dan telefon ini juga memberi kesan kepada pelajar apabila mereka lambat mendapat maklumat selain gagal mengikuti pembe­lajaran secara dalam talian di rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi penduduk, Razak Jali, 38, berkata, menara telekomunikasi yang dibina atas bukit di pinggir Jalan Gua Musang-Kuala Berang berfungsi dengan baik pada 2014.

Katanya, namun kemudahan tersebut gagal berfungsi selepas itu apabila generator yang membekalkan tenaga kepada pencawang tersebut dipercayai dirosakkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kami perlu keluar dan berada di pinggir jalan Gua Musang-Kuala Krai atau ke kawasan Felda Chiku untuk mendapatkan rangkaian telefon atau liputan internet.

“Ketiadaan rangkaian telefon dan capaian internet menyukarkan kehidupan hampir kesemua penduduk serta pekerja ladang sekiranya berlaku kes kecema­san,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mus­tapa Yaacob, 52, berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dapat mengambil perhatian masalah yang dihadapi penduduk itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×