ROMPIN: Sebuah lapangan terbang komersial perlu dibina di bandar ini yang mampu menjadi pemangkin pembangunan pesat Pantai Timur, sekali gus menjana limpahan ekonomi ke kawasan sekitarnya termasuk Pulau Tioman, Mersing dan Muadzam Shah.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, langkah ini dapat mengurangkan tekanan terhadap ekosistem semula jadi di Pulau Tioman yang sudah lama diiktiraf sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar bertaraf antarabangsa.
“Rompin mempunyai potensi sebagai hab logistik dan pelancongan. Pembinaan lapangan terbang di sini akan meningkatkan akses bukan sahaja ke Tioman tetapi ke seluruh gugusan Pantai Timur yang kaya dengan daya tarikan semula jadi.
“Namun, jika direalisasikan kesan pembangunan perlu diambil kira ke atas hutan simpan Endau-Rompin dan Koridor Ekologi yang dilaksanakan bagi menguruskan konflik manusia-hidupan liar dan laluan hidupan liar.
“Oleh kerana sumber semula jadi negara menjadi tarikan dunia, segala pembangunan mesti mengambil kira kelestarian alam semula jadi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, penduduk Pulau Tioman terus berdepan dilema berpanjangan berikutan ketiadaan kemudahan lapangan terbang komersial dan hanya bergantung kepada perkhidmatan feri serta bot laju.
Ahmad berkata, di Rompin dan Pulau Tioman juga perlu kepada pembangunan sebuah pelabuhan dan jeti moden kerana kemudahan ini dilihat sebagai keperluan cukup penting, selari dengan pertumbuhan sektor pelancongan serta perdagangan maritim.
“Fasiliti pengangkutan yang cekap mampu mempercepat bekalan barangan asas ke pulau serta memperkukuh keupayaan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata, Tioman yang ketika ini terkenal dengan aktiviti menyelam skuba, snorkeling dan pemuliharaan penyu laut kini berada pada radar ekopelancongan global, maka kelestarian semula jadi pulau itu mesti dijaga rapi agar tidak terjejas akibat pembangunan tidak terkawal.
“Kajian menunjukkan manfaat ekonomi daripada pelancongan Tioman turut dirasai masyarakat sekitar seperti di Mersing dan Rompin. Justeru, kajian menyeluruh merangkumi aspek sosial, alam sekitar dan pembangunan mapan perlu digerakkan segera demi memastikan keseimbangan antara kemajuan dan kelestarian,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Tioman yang hanya ingin dikenali sebagai Ajie, 45, berkata, Terminal Feri Tanjung Gemuk (Teluk Gading) yang menjadi laluan alternatif ke Pulau Tioman disifatkan tidak setanding dengan Jeti Mersing di Johor daripada segi fasiliti dan kemudahan asas.
Dakwanya, ketiadaan stesen teksi dan bas dilihat menjejaskan keselesaan pengunjung terutama pelancong luar yang tidak membawa kenderaan sendiri. Selain itu, kemudahan lain seperti ruang menunggu, papan maklumat perjalanan dan tempat membeli belah masih belum disediakan secara menyeluruh di terminal tersebut.
“Keadaan ini berbeza dengan Jeti Mersing yang lengkap daripada segi pengangkutan awam, promosi pelancongan dan infrastruktur yang mesra pengguna. Malah, pelancong dari Pahang sendiri dilihat lebih cenderung menggunakan jeti di Johor daripada terminal Tanjung Gemuk.
“Jadi, pihak berwajib perlu meneliti semula potensi Terminal Tanjung Gemuk sebagai pintu masuk utama ke Pulau Tioman. Penambahbaikan infrastruktur dan penyelarasan bersama agensi pelancongan perlu disegerakan bagi mengangkat imej daerah Rompin sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia,” katanya. – UTUSAN











