AUCKLAND, NEW ZEALAND: Malaysia sedia menambah pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Petronas dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke New Zealand untuk melanjutkan pengajian selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap pelajar asing.
Oleh itu, Malaysia mensasarkan untuk menambah 100 pelajar tajaan Mara ke New Zealand khususnya untuk mendalami ilmu berkaitan peralihan tenaga hijau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah mendapat beberapa tawaran daripada beberapa universiti di New Zealand untuk menghantar pelajar tajaan Mara ke sana.
Katanya, tawaran itu juga terbuka kepada pelajar tajaan Petronas dan JPA serta lain-lain agensi untuk dihantar ke New Zealand.
“Di United Kingdom (UK), mereka telah memberikan diskaun sebanyak 20 hingga 30 peratus (yuran pengajian) dan saya meletakkan KPI (petunjuk prestasi utama) kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki untuk mencapai KPI ini supaya pelajar di bawah tajaan kerajaan dan agensi dihantar ke sini.
“Dulu kita mempunyai ramai pelajar Malaysia yang belajar di sini. Mungkin kerana kursus (ditawarkan) telah ada di negara kita dan kos pembelajarannya mungkin meningkat maka terdapat pengurangan (pelajar).
“Pada tahun ini saja, hanya ada 690 orang pelajar Malaysia di New Zealand. Saya berharap dengan perkembangan terbaharu ini maka lebih ramai pelajar tajaan ini berada di New Zealand,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus Majlis Perniagaan ASEAN – New Zealand, di sini hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan bercadang untuk menghidupkan semula program pertukaran pelajar antara Malaysia dengan New Zealand di masa depan dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan.
Katanya, terkini hanya 20 pelajar dari New Zealand melanjutkan pengajiannya ke Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia mencadangkan supaya kursus pendek ditawarkan kepada lebih ramai pelajar dari negara ini.
“Kursus pendek ditawarkan boleh dilakukan bersama-sama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Mara. Mereka sangat memerlukan kursus pendek itu untuk memperoleh pendedahan dalam bidang teknikal khususnya Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Enam universiti di Malaysia telah diiktiraf oleh Majlis TVET Negara sebagai penyedia program TVET yang berkualiti iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMP); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA); Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – UTUSAN











