PETALING JAYA: Kerajaan perlu menggantung siasatan polis berhubung kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Pengarah Lawyers For Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, kebocoran minit mesyuarat itu berlaku disebabkan rakyat mahu pendedahan di sebalik apa yang terjadi dalam sistem kehakiman negara.
Beliau berkata, sebaliknya kerajaan perlu menjawab kebimbangan berkaitan institusi kehakiman sejak kebelakangan ini.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah lama berjanji bahawa Akta Kebebasan Maklumat akan digubal dan OSA akan dimansuhkan.
“Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini telah mengumumkan bahawa kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat, dengan agar rakyat mempunyai hak untuk mengakses maklumat di bawah bidang kuasa kerajaan.
“Namun rakyat diugut dengan OSA. Adakah janji dan komitmen terhadap ketelusan serta kebebasan maklumat ini telah ditinggalkan, seperti banyak janji reformasi yang lain?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, tular minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu yang tersebar di media sosial.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Zaid berkata, langkah kerajaan dalam menangani isu campur tangan kebebasan badan kehakiman amat mengecewakan.
“Adakah kerajaan berniat untuk menangkap puluhan ribu rakyat Malaysia yang kini telah melihat, berkongsi atau memiliki minit mesyuarat JAC itu? Adakah berlaku tangkapan besar-besaran di bawah OSA jika orang awam berbincang atau merujuk kepada minit JAC tersebut?” katanya. – UTUSAN











