Sijil halal bantu Biscochiz tembusi Asia Barat

Sijil halal bantu Biscochiz tembusi Asia Barat

BISCOCHIZ Group kini sudah berada di pasaran Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biscochiz Group Sdn Bhd, pengeluar pastri dan kek yang kini beroperasi di kafe Sekolah Perniagaan & Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), memanfaatkan pensijilan halal bagi memperkukuh kedudukannya di pasaran tempatan dan Singapura, selain membuka laluan ke Asia Barat.

Pengasas dan Pengurus Operasi Biscochiz, Wan Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel berkata, perniagaan yang bermula dari rumah pada 28 Februari 2020 kini berjaya berkembang ke dapur komersial, mengeksport produk ke Singapura dan membuka kafe sendiri hasil kepercayaan pelanggan terhadap standard halal.

“Pensijilan halal ini amat penting kerana ia memberi keyakinan bukan sahaja kepada pelanggan tempatan, malah juga pelanggan kami di Singapura.

“Bagi saya, ia memastikan setiap proses pembuatan kami benar-benar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), bersih, selamat dan menenangkan hati pembeli Muslim yang sangat prihatin terhadap status halal sesuatu produk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, proses mendapatkan sijil halal lebih mudah kerana mereka melantik perunding khas untuk menguruskan segala keperluan daripada A hingga Z.

“Kami dibantu daripada aspek dokumentasi, perubahan susun atur pengeluaran, hinggalah kepada audit halal. Semua langkah berjalan lancar dengan bimbingan mereka,” ujarnya.

Wan Nurasyikin berkata, sejak memperoleh sijil halal, banyak manfaat yang diperoleh termasuk geran inovatif halal bernilai RM100,000 daripada Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), keyakinan pelanggan yang melonjak, peluang kerjasama dengan Sekolah Perniagaan & Ekonomi UPM serta sokongan daripada Mardi.

“Kami lihat pensijilan halal bukan sekadar dokumen, tetapi satu simbol integriti dan standard tinggi. Ia membuka banyak pintu dan memudahkan kami untuk terus maju,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran dalam perniagaan, Wan Nurasyikin mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana mereka perlu memastikan susun atur dapur diubah suai bagi memenuhi piawaian halal.

“Kami juga perlu memastikan setiap bahan mentah yang digunakan mempunyai sijil halal dan memastikan semua pembekal turut patuh. Ini memerlukan masa dan ketelitian,” katanya.

Beliau berkata, dengan sijil halal sebagai asas, Biscochiz kini merancang untuk mengembangkan pasaran ke Dubai dan Arab Saudi.

“Kami yakin dengan sijil halal yang diiktiraf  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), produk kami lebih mudah diterima oleh pengimport luar negara, khususnya di Asia Barat.

“Pelanggan kini lebih peka tentang kebersihan, keselamatan dan status halal produk makanan. Jadi bagi saya, pensijilan halal bukan sahaja pelindung reputasi tetapi juga asas untuk terus berkembang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×