PETALING JAYA: Jabatan Mufti Negeri Pahang memberi peringatan tegas kepada umat Islam agar berwaspada terhadap ancaman fahaman New Age Movement yang kini dikesan semakin menyusup masuk ke negara ini melalui pelbagai bentuk program pembangunan diri dan spiritual moden.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, fahaman tersebut dikesan berselindung di sebalik program motivasi, kursus ‘healing’, latihan minda dan seminar pembangunan kendiri yang kelihatan neutral dan ilmiah, namun sebenarnya membawa ajaran yang menyimpang daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Umat Islam diingatkan agar berhati-hati terhadap mana-mana bentuk program yang menggunakan unsur metafizik dalam silibusnya dan tidak berasaskan ajaran Islam yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, peserta yang pernah menyertai program eHati digesa wajib bertaubat segera kerana terlibat dalam aktiviti bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, program bertopengkan penyembuhan diri dan kelahiran semula, membawa ajaran sesat dan merosakkan akidah.
Mengulas lanjut, Asmadi berkata, fahaman New Age Movement membawa unsur yang bercanggah dengan akidah Islam seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama serta penyelewengan wahyu dan syariat.
“Pendekatan metafizik dan elemen kerohanian dalam program-program tersebut sering tidak bersumberkan ajaran Islam yang sahih, malah cenderung kepada kepercayaan sesat dan ajaran sinkretik yang menyesatkan,” katanya.
Tambah Asmadi, pendekatan sebenar dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam ialah melalui Sufisme Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan al-Quran, al-Sunnah dan turath (warisan) ulama muktabar.
“Pendekatan psikospiritual dalam tasawuf seperti tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa), zikir, muraqabah serta pengenalan terhadap maqam-maqam kerohanian merupakan alternatif yang seimbang dan sah dari segi syarak.
“Ia bukan sahaja memelihara akidah, malah mendidik jiwa agar kembali kepada Allah SWT dengan penuh adab dan rasa kehambaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar umat Islam merujuk kepada pihak berkuasa agama seperti Jabatan Mufti bagi mendapatkan nasihat dan panduan sahih berkenaan sebarang program yang melibatkan motivasi, pembangunan diri atau spiritual, khususnya yang mengandungi unsur metafizik.
“Umat Islam tidak seharusnya leka dengan pendekatan yang kononnya moden dan universal, tetapi sebenarnya menghakis asas akidah,” katanya. – UTUSAN







