ROMPIN: Penduduk Pulau Tioman, Pahang terus berdepan dilema berpanjangan berikutan ketiadaan kemudahan lapangan terbang komersial dan hanya bergantung kepada perkhidmatan feri serta bot laju.
Walaupun wujud lapangan terbang kecil di Kampung Tekek, namun kebergantungannya kepada pesawat ringan dengan jadual penerbangan terhad menimbulkan kekangan serius dalam urusan keluar masuk pelancong dan penduduk.
Lapangan Terbang Tioman mula beroperasi sejak akhir 1980-an, dibina bersebelahan Kampung Tekek yang direka sebagai lapangan terbang landasan pendek (STOL) dan sesuai untuk pesawat kecil kerana landasan hanya sepanjang 992 meter.
Disebabkan bentuk muka bumi berbukit di hujung selatan pulau peranginan berkenaan, pesawat hanya boleh mendarat dari arah utara, menjadikan pendaratan agak mencabar.
Pada awal 2000-an, lapangan terbang ini menerima lebih 50,000 penumpang setahun, tetapi jumlah itu menurun secara drastik selepas 2014.
Bagaimanapun, difahamkan sejak Oktober 2023, tiada jadual penerbangan membawa pelancong diterima lapangan terbang tersebut, tetapi terdapat kakitangan masih bertugas di situ.
Atas faktor itu, penduduk Kampung Juara yang hanya ingin dikenali sebagai Ali Daud, 40, berkata, sebalik keindahan semula jadi yang menjadi tarikan pelancong, Pulau Tioman masih bergelut dengan isu akses dan pembangunan mampan.
Katanya, cadangan pembinaan lapangan terbang baharu yang sudah dibincangkan sebelum ini perlu diberi perhatian selepas lebih dua dekad tertangguh.
“Tapak seluas kira-kira 6.47 hektar di sebuah tanjung antara Kampung Paya dan Kampung Genting sudah pun dibeli kerajaan sekitar 2002 hingga 2003. Idea ini mula diusulkan oleh bekas Perdana Menteri terdahulu dengan matlamat memperkukuh mobiliti serta memberi suntikan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Saya sejak dari usia 18 tahun bekerja sebagai pemandu bot dan bawa pelancong. Lokasi cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu sebenarnya tiada terumbu karang, ia bukan lokasi aktiviti selaman.
“Memang ada penduduk di sini khususnya di Kampung Paya dan Genting menentang. Ini kerana pemikiran mereka sudah lama dipasak dengan pelbagai dakwaan negatif. Lapangan terbang baharu di sini bukan semata-mata untuk pelancong, tetapi peluang pekerjaan buat penduduk. Kalau tak mula sekarang, bila lagi?.
“Apa yang kita mahu ini bukan untuk kita. Kita nak Pulau Tioman maju seperti tempat orang. Lapangan terbang bukan sekadar binaan fizikal, tetapi simbol perubahan. Apabila akses lebih mudah, Tioman boleh bersaing sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia, sambil mengekalkan identiti dan warisan masyarakatnya,” katanya.

Seorang penduduk melalui pintu pagar Lapangan Pulau Tioman di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang.
TIKET FERI CECAH RM150 MEMBEBANKAN PELANCONG
Harga tiket feri mahal ke Pulau Tioman didakwa menjadi antara punca penurunan jumlah kedatangan pelancong, menurut tinjauan beberapa pengusaha pelancongan dan penduduk tempatan.
Ketika ini, tambang feri dari Jeti Mersing dan Tanjung Gemok (Teluk Gading) masing-masing RM60 sehala bagi dewasa dan RM55 untuk kanak-kanak. Pelancong asing pula dikenakan bayaran RM75 sehala. Penduduk tempatan Tioman menikmati kadar subsidi RM30 sehala, hasil inisiatif kerajaan Pahang.
Seorang pekerja di Kampung Tekek, Muhammad Faizal Mohd. Ayob, 34, berkata, kenaikan kos pengangkutan laut secara langsung menjejaskan minat kunjungan pelancong.
“Kesan kenaikan tambang begitu dirasai oleh pemilik chalet, restoran, peniaga kecil dan pemandu bot bergantung sepenuhnya kepada kehadiran pelancong. Akibatnya, sesetengah pelancong memilih destinasi lain, lebih mudah diakses dan berpatutan segi kos perjalanan termasuk makan dan minum.
“Langkah Kerajaan Pahang memperkenalkan tambang subsidi kepada penduduk pulau sebelum ini disambut baik, namun pemantauan dan penilaian semula terhadap harga tambang untuk pelancong luar dilihat perlu dilakukan secara menyeluruh.
“Penduduk setempat berharap agar pihak berkuasa dapat mempertimbang alternatif seperti insentif subsidi tiket pelancongan keluarga, penyelarasan jadual feri dan promosi destinasi dalam serta luar negara bagi meningkatkan semula daya tarikan Pulau Tioman,” katanya.
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Mohd. Riduan Mat Ghani, 49, berkata, kenaikan harga tiket feri ke Tioman terlalu mahal dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelancong.
Beliau yang lebih 12 kali ke Pulau Tioman berkata, dahulu harga tiket pergi balik hanya RM40 sahaja, tetapi kini sudah naik kepada RM120.
“Walaupun harga meningkat, kualiti perkhidmatan langsung tidak memuaskan. Tempat duduk dalam feri keras, menegak dan menyakitkan leher malah tidak jauh beza dengan perkhidmatan pengangkutan awam seperti RapidKL.
“Servis sangat mengecewakan dan tempat duduk tidak sesuai untuk perjalanan jauh. Harga naik tapi keselesaan langsung tiada,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan harga tiket kanak-kanak mencecah RM55 sehala sebagai beban kewangan tambahan kepada keluarga.
“Saya hadir ke Kampung Salang ini bersama sembilan individu dan jumlah kos tiket sahaja melebihi RM500, satu jumlah tidak wajar.
“Dicadangkan kepada pihak berwajib agar harga tiket feri dikaji semula dan direndahkan seperti mana yang dilaksanakan di Langkawi yang menawarkan perjalanan pergi balik bawah RM50,” katanya.
PROJEK SUNGAI TIOMAN GAGAL?
Projek pembangunan sungai di Pulau Tioman dikatakan dimulakan sejak 2008 kini menghadapi pelbagai cabaran penyelenggaraan, sekali gus menjejaskan aktiviti nelayan tempatan serta keupayaan komuniti marin di situ untuk beroperasi secara berkesan.
Penduduk Kampung Tekek yang hanya ingin dikenali sebagai Zack, 44, berkata, projek sungai tersebut yang dahulunya dibina dengan kedalaman antara dua hingga tiga meter kini hanya tinggal paras betis sahaja, menyukarkan laluan bot.
“Keadaan berlaku ini memburukkan risiko kerosakan bot sewaktu musim tengkujuh, seperti berlaku pada musim monsun pada 2024, banyak bot musnah akibat ketiadaan tempat perlindungan yang selamat.
“Difahamkan, projek itu menelan belanja RM50 juta untuk pembinaan awal. Namun, ketiadaan penyelenggaraan berterusan menyebabkan sungai semakin cetek dan tidak lagi berfungsi seperti diharapkan. Untuk pembaikan semula, kos dianggarkan sekitar RM500,000,” katanya.
40 TAHUN TIOMAN TIADA STESEN MINYAK
Ketiadaan kemudahan stesen minyak di Pulau Tioman menimbulkan kebimbangan kepada kira-kira 4,000 penduduk serta pengusaha pelancongan yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan bahan api dari tanah besar.
Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan kos logistik, malah mengancam kelangsungan operasi pelancongan dan keperluan harian penduduk.
Ali berkata, permintaan terhadap bahan api adalah tinggi, khususnya bagi feri dan bot pelancongan beroperasi setiap hari.
“Selain itu, motosikal dan lain-lain kenderaan di pulau ini turut memerlukan akses berterusan bekalan minyak. Ketiadaan stesen minyak ini bukan baru, tapi dah lebih 40 tahun. Rayuan, aduan sudah dibuat tapi ia sepi begitu sahaja seperti langsung tidak diendahkan.
“Pembinaan stesen minyak diyakini mampu mengurangkan kos penghantaran bahan api, menjamin bekalan yang lebih teratur dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di pulau ini,” katanya.
MAHU TIOMAN SETANDING ANTARABANGSA
Pulau Tioman memiliki potensi luar biasa untuk dimartabatkan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa setanding Pulau Langkawi.
Tokoh Budaya dan Kesenian Pahang, Datuk Dr. Aripin Said berkata, Tioman bukan sahaja kaya dengan keindahan semula jadi, malah mempunyai nilai sejarah tersendiri.
“Langkah memperkasa infrastruktur asas seperti sistem feri, penerbangan dan kemudahan digital perlu disegerakan agar dapat menerima limpahan ekonomi,” katanya.
Katanya, Tioman juga dicadangkan menjadi pulau konservasi agar pembangunan yang dijalankan tidak menjejaskan khazanah alam.
“Penjenamaan semula Tioman dengan naratif budaya dan keunikan lagenda naga mampu menghidupkan semula sektor pelancongan yang lestari dan beridentiti,” ujarnya.-MINGGUAN










