INANAM: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM195.35 juta bagi melaksanakan 48 projek pembangunan infrastruktur serta kerja baik pulih di Sabah, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Kor Ming berkata, peruntukan yang diluluskan di bawah Program Pembangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Rolling Plan 5 (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan dilaksanakan tahun ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, RM60.39 juta adalah bagi enam kerja pembinaan dan naik taraf termasuk pembinaan tapak letak kereta di Kota Kinabalu dan dewan serbaguna di Ranau serta pembinaan tapak tamu dan naik taraf pasar awam di Putatan.
“Manakala sebanyak RM39.78 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan sepuluh Program Residensi Rakyat (PRR) dan Program Perumahan Rakyat (PPR). Bagi pembangunan Rumah Mesra Rakyat (RMR) pula, sebanyak RM24.48 juta telah diperuntukkan.
“Selain itu, satu sel tapak pelupusan sisa pepejal akan dibina di Labuk, Sandakan dengan peruntukkan RM30 juta manakala RM2 juta diberi untuk membina dan menaik taraf tapak pelupusan Kayu Madang, Kota Kinabalu dan di Pantai Barat Selatan,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, kerja-kerja naik taraf dan pembangunan taman-taman awam di seluruh negeri serta pelaksanaan Kajian Pelan Induk Majlis Daerah Keningau juga akan dilaksanakan dengan peruntukan RM13.74 juta.
Beliau berkata, RM7.77 juta pula diperuntukkan bagi pembinaan dan naik taraf balai bomba seluruh negeri termasuk di Merotai, Semporna dan Kota Belud. – UTUSAN











