PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerajui Projek MyGenom sebagai usaha strategik dalam membina aset genom negara bagi memperkasa sistem kesihatan berasaskan data dan teknologi.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan bersama MOSTI berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) melalui Program Perdana 4 selaras dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan dan kerangka Malaysia MADANI.
“Projek ini juga bertujuan menghasilkan genom rujukan Malaysia untuk menyokong strategi pencegahan penyakit, inovasi perubatan dan pembangunan dasar yang tepat,” katanya.
KKM memaklumkan, pihaknya bertanggungjawab terhadap persampelan dan analisis genomik berkaitan kesihatan awam manakala MOSTI memacu aspek penjujukan genom menggunakan kemudahan teknologi tinggi melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM).
“Pendekatan rentas kementerian antara KKM dan MOSTI memastikan persampelan komuniti dilakukan secara inklusif dan beretika, termasuk melalui pusat pengambilan darah, komuniti luar bandar dan kempen darah,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 3,150 peserta dari semenanjung dan Sarawak berjaya direkrut pada Fasa 1 dengan usaha Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)
Tambahnya, bagi Fasa 2 pula, sasaran akan diperluaskan dengan jumlah 10,000 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk kaum bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli.
“MyGenom juga membuka ruang kepada pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang genomik dan bioteknologi kesihatan serta kerjasama penyelidikan merentas institusi termasuk di peringkat antarabangsa.
“Kami menyeru seluruh rakyat, institusi penyelidikan, akademia dan industri untuk menyokong projek ini demi meletakkan genomik sebagai teras sistem kesihatan masa depan yang mampan, inklusif dan berasaskan teknologi,” katanya. – UTUSAN











