RM1.026 juta bantu koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

RM1.026 juta bantu koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

EWON BENEDICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Memuatkan artikel berkaitan…

TENOM: Sebanyak RM1.026 juta diluluskan kepada 94 koperasi di seluruh negara di bawah Program Jejak Koperasi sebagai persiapan menghadapi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM2 juta yang disediakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi pelaksanaan program melibatkan penyertaan 160 koperasi.

Katanya, Program Jejak Koperasi merupakan inisiatif khas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membantu koperasi dalam sektor pelancongan dan hospitaliti memperkemas operasi dan memasarkan produk mereka lebih awal sebelum kempen bermula.

“Sebanyak RM642,000 turut diperuntukkan bagi Program Jualan MADANI Koperasi yang dilaksanakan secara menyeluruh di pelbagai lokasi untuk meningkatkan keterlibatan koperasi dalam ekonomi setempat dan memberi manfaat terus kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Mini Karnival Koperasi Peringkat Daerah Tenom 2025 di Dewan Terbuka Kampung Paguokon, hari ini.

Menurut beliau, sejak penubuhan koperasi pertama negara pada 21 Julai 1922, gerakan koperasi telah berkembang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Katanya, ketika ini terdapat 16,284 koperasi aktif dengan lebih 7.2 juta anggota di seluruh negara, yang secara kolektif memiliki syer dan yuran mencecah RM18.3 bilion, aset berjumlah RM173 bilion dan perolehan tahunan sekitar RM68.18 bilion.

“Pertumbuhan sektor koperasi turut disokong oleh pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM 2021–2025) yang menyumbang kepada peningkatan 101 peratus pendaftaran koperasi baharu dari tahun 2021 hingga 2024.

“Ini membuktikan potensi besar sektor ini dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kerajaan juga sedang menggubal pindaan terhadap Akta Koperasi 1993 bagi memperkukuh kerangka perundangan agar lebih progresif dan mesra koperasi, seiring dengan aspirasi semasa dan masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini