MELAKA: Seorang kontraktor yang didakwa memukul isteri hingga parah, tahun lalu menerima padahnya apabila dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat keputusan itu selepas tertuduh, See Yong Fei, 36, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan.
Tertuduh itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya berusia 39 tahun dengan cara memukul dan menumbuk bahagian muka dan tangan serta menendang bahagian belakang badan, menyebabkan patah di beberapa anggota badan.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.28 malam di Taman Desa Bertam dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul isterinya kerana berang wanita itu keluar rumah tanpa izin untuk pergi ke pasar, selain melarang mangsa bergaul dengan orang lain.
Setibanya di rumah, mangsa telah dipukul dan ditendang menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta badan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan mangsa manakala tertuduh diwakili peguam Kelvinder Singh Sidhu merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menyara lima anak yang masih kecil dan bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula dari tarikh sabitan 11 Julai lalu dan denda RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar.-UTUSAN











