Tiga beranak monopoli harga pembekalan susu tepung

Tiga beranak monopoli harga pembekalan susu tepung

IJM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga beranak yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mendalangi kartel pembekalan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan dipercayai memanipulasi harga antara 10 hingga 50 peratus dalam pembekalan tender terbabit. 

Ketiga-tiga individu berkenaan terdiri daripada pemilik syarikat dan pemegang saham itu disyaki terbabit dalang kartel pembekalan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan yang tidak memenuhi piawaian standard SIRIM bernilai kira-kira RM120 juta.

Menurut sumber, fokus siasatan SPRM tertumpu kepada isu cukai, rasuah dan monopoli harga dalam pembekalan tender terbabit. 

Katanya, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai kepakaran bagi pembekalan susu tepung namun ia dipercayai merupakan syarikat untuk projek pembinaan dan perabot. 

“Siasatan lanjut, tender pembekalan susu tersebut membabitkan hospital dan penjara.

“Mereka yang disiasat membabitkan pemilik syarikat, pemegang saham dan pengedar susu tepung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut sumber, seramai 10 individu termasuk pemegang saham syarikat pembekalan susu kepada kerajaan, diambil keterangan setakat ini bagi kes terbabit. 

Sumber berkata, seorang lagi anak pasangan suami isteri tersebut yang juga merupakan pengarah syarikat kini berada di luar daerah atas urusan kerja akan dirakam percakapan pada Selasa atau Rabu ini. 

“SPRM sudah membekukan puluhan akaun terdiri daripada akaun individu dan syarikat dengan keseluruhan bernilai RM174.6 juta.

“Pelbagai dokumen membabitkan kontrak pembekalan susu tepung dan dokumen kewangan, telefon bimbit serta komputer riba turut disita bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan jumlah sitaan terbabit. 

Media kelmarin melaporkan, tiga sekeluarga disyaki dalang memonopoli tender pembekalan susu kepada jabatan kerajaan sejak dua dekad lalu disiasat menerusi Op White di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, keluarga itu disyaki menjadi dalang kartel membekal susu tepung bernilai RM120 juta membabitkan sebuah jabatan kerajaan.

Berdasarkan siasatan, syarikat yang dimiliki pasangan suami isteri berkenaan memonopoli tender pembekalan susu tepung sejak 20 tahun lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain mengenal pasti elemen jenayah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×