KUALA LUMPUR: Sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi senjata tajam dalam persaingan geopolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kuasa memang sentiasa mempengaruhi perdagangan tetapi hari ini, ia semakin menjelaskan keadaan tersebut.
“Di seluruh dunia, alat-alat yang dahulunya digunakan untuk menjana pertumbuhan kini digunakan untuk memberi tekanan, mengasingkan dan menyekat.
“Tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi senjata tajam dalam persaingan geopolitik,” kata Anwar ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Anwar, berikutan kebimbangan tersebut, semua negara ASEAN perlu memperkukuh perpaduan dan memainkan peranan lebih tegas dalam menghadapi cabaran geopolitik.
Bagaimanapun, beliau dalam sidang akhbar selepas itu berkata, rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) masih diteruskan walaupun Presiden Donald Trump telah mengumumkan tarif import 25 peratus ke atas Malaysia.
Katanya, perkara itu akan beliau maklumkan kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam pertemuan kedua-duanya hari ini.
“Kita telah menghantar pasukan untuk berunding dan menjelaskan pendirian bahawa Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan bahawa sebarang tarif unilateral akan memberi kesan negatif kepada ekonomi kedua-dua negara dan rantau ini.
“Tetapi kita masih dalam rundingan. Apabila saya bertemu Rubio hari ini, saya pasti akan membangkitkan beberapa isu ini untuk pertimbangannya supaya ia boleh dibawa sebelum keputusan muktamad oleh Presiden Donald Trump,” katanya.
Trump menyemarakkan semula ketegangan perdagangan global apabila menghantar surat kepada 14 negara kebanyakannya di Asia, berhubung tarif import lebih tinggi yang akan mula dikuatkuasakan mulai 1 Ogos.
Langkah itu dilihat sebagai usaha terbaharu beliau untuk memaksa rundingan semula perjanjian perdagangan yang didakwa berat sebelah, dengan Asia muncul sebagai sasaran utama dalam strategi tarif agresif pentadbiran Trump.
Ia menandakan kali kedua Trump menetapkan tarikh akhir, selepas menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari kepada hampir semua negara pada April lalu.
Negara seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Malaysia dijangka terkesan paling awal berikutan lebihan dagangan mereka yang tinggi dengan AS.
Langkah terbaharu itu dijangka meningkatkan ketegangan perdagangan serantau dan memberi tekanan kepada negara terbabit untuk mempertimbangkan semula hubungan ekonomi dengan AS.
Selain negara-negara ASEAN, Trump juga turut bercadang mengenakan sekatan tambahan terhadap Moscow dan negara-negara yang berdagang dengan Russia terutama minyak, gas dan uranium dengan mengenakan tarif sebanyak 500 peratus.
Ia susulan rasa tidak puas hati beliau terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin, berikutan peningkatan jumlah kematian dalam perang Moscow dengan Ukraine.
Trump, yang semasa kempen presidennya berikrar untuk menamatkan perang dalam masa sehari, masih belum dapat menunaikan janji itu dan usaha pentadbirannya untuk menjadi perantara damai masih belum berhasil.
Trump meluahkan kemarahannya terhadap Putin semasa mesyuarat dengan pegawai Kabinet di Rumah Putih.
“Saya tidak berpuas hati dengan Putin. Itu saya boleh katakan sekarang.
“Kami sering menerima banyak janji kosong daripada Putin. Beliau kelihatan sangat mesra, tetapi semuanya tidak bermakna,” kata Trump.
Trump berkata, beliau kini mempertimbangkan untuk menyokong satu Rang Undang-Undang di Senat yang akan mengenakan sekatan berat terhadap Russia berikutan perang tersebut. – UTUSAN










