Lawatan ke Itali, Perancis dan Brazil bawa pelaburan berkualiti

Lawatan ke Itali, Perancis dan Brazil bawa pelaburan berkualiti

ANWAR Ibrahim (tengah, lima dari kanan) bersama pemimpin-pemimpin dunia pada hari terakhir Sidang Kemuncak Pemimpin Brics di Rio de Janeiro, Brazil. - FACEBOOK/ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri berkata, lawatannya ke Itali, Perancis dan Brazil bukan sahaja membawa potensi pelaburan berbilion ringgit tetapi turut mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya saing serta rakan dagang strategik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan berbilion ringgit hasil daripada rangkaian pertemuan berprofil tinggi dan perbincangan mendalam sepanjang lawatan itu.

Jelasnya, pelaburan itu meliputi pelbagai sektor antaranya teknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga mampan dan inovasi.

“Pelaburan berkualiti ini bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi negara, malah berpotensi menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas mengenai BRICS, Anwar berkata, beliau menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dan berprinsip dalam memperjuangkan kerjasama global yang lebih adil, saksama dan berteraskan keamaan sejagat.

Jelasnya, penyertaan Malaysia dalam sidang itu membuka akses pasaran baharu kepada syarikat tempatan serta memperkukuh kedudukan negara dalam landskap geoekonomi dunia yang semakin mencabar dan dinamik.

“Diplomasi yang dilaksanakan bukan sekadar menjalin hubungan, tetapi membawa impak konkrit terhadap kesejahteraan rakyat dan kelangsungan masa depan negara.

“Ia mencerminkan pendekatan Kerajaan Madani yang berpandangan jauh, progresif dan berteraskan kepentingan nasional,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lawatanya turut turut memperkukuh hubungan dua hala yang erat dan saling menguntungkan dengan rakan-rakan strategik di Eropah, Amerika Latin dan negara anggota BRICS.

Katanya, ia memperkasa peranan Malaysia dalam memantapkan agenda pembangunan negara Selatan Global.

“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh delegasi Malaysia meliputi wakil kerajaan, agensi dan delegasi perniagaan yang telah melaksanakan setiap agenda dengan penuh profesionalisme dan komitmen tinggi.

“Langkah kita tidak akan terhenti di sini. Kita akan terus mara ke hadapan, membuka ruang kerjasama baharu dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang di persada dunia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×