KEMAMAN : Hasrat seorang jurutera di daerah ini mendapat wang pulangan berganda terkubur apabila dia rupa-rupanya terpedaya dengan skim pelaburan saham secara dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa telah melihat iklan pelaburan saham dalamlaman sosial Facebook pada 8 April lalu.
“Mangsa mendakwa berurusan dengan seorang wanita yang menawarkan pelaburan saham syarikat China melalui satu aplikasi. Mangsa kemudian melakukan sebanyak lapan transaksi pindahan wang dalam talian ke tiga akaun bank yang berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM71,000,” katanya hari ini.
Menurutnya, transaksi itu dilakukan bermula 27 Mei hingga 26 Jun lalu dan pada peringkat awal dia menerima pulangan sebanyak RM600.
“Bagaimanapun, selepas semua transaksi tersebut dilakukan, mangsa tidakmenerima sebarang pulangan lagi menyebabkan dia mula menyedari dia tertipu dengan pelaburan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










