KUBANG PASU: Misteri kehilangan enam beranak sejak Sabtu lalu terjawab apabila semua mangsa ditemukan maut dalam sebuah kereta Proton Iswara yang terbabas ke dalam Sungai Korok, Jitra yang berkedalaman enam meter pagi semalam.
Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isteri, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, dan anak mereka, Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan lemas dalam nahas itu.
Mohamad Azim bekerja sebagai pengawal keselamatan dan isteri berniaga roti canai, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bohor Karang, Jerlun selepas bermalam di rumah adiknya di Taman Sri Aman, Jitra, 20 kilometer dari lokasi kejadian. Anak sulung pasangan ini berusia 12 tahun tidak ikut serta sebaliknya tinggal bersama neneknya di Jerlun.
Kehilangan sejak pukul 5.30 pagi, Sabtu lalu hanya disedari ahli keluarga mangsa selepas mereka tidak tiba ke rumah yang didiami bersama keluarga mentua Mohamad Azim Izat.
Kereta Proton Iswara dinaiki mereka hanya ditemukan selepas bahagian belakangnya kelihatan pada permukaan sungai pagi semalam oleh penduduk sekitar sebelum menghubungi pihak berkuasa susulan kisah kehilangan mereka sekeluarga disiarkan akhbar ini sejak malam tadi.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, kenderaan itu dipercayai terbabas ke dalam sungai terbabit.
Katanya, ini berdasarkan terdapat kesan brek di permukaan jalan berhampiran tebing sungai itu.
“Ketika anggota bomba membuat operasi penyelamatan disahkan terdapat enam mangsa terkumpul di bahagian belakang kereta sebelah kiri.
“Berkemungkinan terdapat cubaan untuk mereka keluar dari kereta itu namun gagal,” katanya ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.
Ahmad Aminuddin berkata, anggota bomba terpaksa memecahkan cermin kereta dan membuat pemotongan struktur kenderaan itu untuk mengeluarkan mangsa.
“Apabila mangsa berada di dalam air untuk tempoh tertentu, jasad mangsa akan mereput dan mengembang. Jadi berlaku kesukaran untuk mengeluarkan melalui pintu secara biasa.
“Sehubungan itu, anggota terpaksa memotong dan memecahkan cermin belakang kereta tersebut untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, sungai itu berkedalaman kira-kira enam meter dengan lebar seluas 7.6 meter dan operasi tidak terlalu sukar berikutan kereta telah terapung dan boleh ditarik ke tebing sungai.
Sementara itu, proses bedah siasat kesemua mangsa dilakukan di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan jenazah dijangka dikebumikan di Jerlun, setelah semua urusan selesai.










