PETALING JAYA: Pelakon, Yana Samsudin yang telah keluar daripada menerima rawatan di pusat perubatan swasta dinasihatkan lebih berwaspada bagi mengelak mengalami preeklampsia iaitu komplikasi berkaitan kehamilan.
Suaminya, Fadzil Zahari berkata, dia gusar Yana yang sedang hamil lima bulan berisiko mengalami penyakit itu sekali lagi.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya okey. Yana sihat dan kandungan dalam keadaan baik. Cuma doktor pesan berhati-hati sebab semasa mengandung anak ketiga dulu dia pernah alami preeklampsia.
“Kata doktor, apabila seseorang wanita hamil sudah pernah alami penyakit itu, besar kemungkinan dia boleh kena lagi apabila kandungan memasuki usia tujuh bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fadzil berkata, sebagai suami dia mengambil serius nasihat doktor dan sering mengingatkan Yana tidak terlalu aktif, lebih-lebih lagi isterinya seorang yang sibuk.
“Saya kena sentiasa pantau pergerakan dia. Dia pula jenis lasak, saya pesan banyak kali pun dia tetap juga aktif.
“Alhamdulillah, mujur hari itu kami sampai ke hospital cepat kerana Yana mengalami nyah hidrat,” katanya.
Yana dimasukkan ke pusat perubatan swasta di Shah Alam dekat sini selepas mengalami nyah hidrat dan menerima rawatan selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang.
Fadzil berkata, sebaik sahaja keluar wad, Yana bersemangat menghadiri perjumpaan keluarga dan kembali bekerja seperti biasa.
Yana dan Fadzil berkahwin pada 2015 dan kini memiliki tiga cahaya mata. Mereka menanti kelahiran anak keempat yang dijangka hujung tahun ini. – UTUSAN










