PUTRAJAYA: Syarikat penyiaran terkemuka Hong Kong, TVBI Company Limited (TVBI) menyasarkan untuk memperkukuh kehadiran di Malaysia melalui kerjasama penerbitan kandungan tempatan serta peluasan pelesenan harta intelek (IP) melibatkan pelbagai bentuk hiburan baharu.
Pengurus Besar TVBI, Desmond S.H. Chan berkata, Malaysia dikenal pasti sebagai antara enam pasaran antarabangsa utama TVBI selain Singapura, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan Vietnam.
Katanya, ini berdasarkan populasi besar masyarakat Cina tempatan yang fasih berbahasa Kantonis dan mempunyai hubungan emosi yang kuat terhadap kandungan serta artis TVB sejak lebih 50 tahun lalu.
“TVBI tidak lagi mahu bergantung semata-mata kepada pelesenan kandungan drama, sebaliknya melihat potensi lebih besar dalam pengkomersialan IP mereka untuk menjangkau generasi penonton baharu.
“Kami tidak hanya mahu menyiarkan drama dari Hong Kong dengan sarikata Bahasa Melayu, sebaliknya mahu bekerjasama dengan syarikat Malaysia untuk menyesuaikan IP kami dalam bentuk baharu seperti permainan video, LARP (permainan aksi langsung) dan program interaktif bersama artis,” katanya kepada pemberita semasa sesi temubual bersama TVBI di sini.
Menurutnya, langkah itu turut seiring dengan perubahan trend pengguna, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin kurang menonton siaran televisyen tradisional dan lebih cenderung kepada bentuk hiburan digital dan interaktif.
“Buat masa ini, TVBI juga sedang berbincang dengan beberapa pemain industri untuk menghasilkan drama tempatan secara bersama selain menerbitkan program khas.
“Ini seperti rancangan masakan dan feng shui menjelang Tahun Baru Cina yang merupakan kandungan yang terbukti popular dalam kalangan penonton tempatan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, TVBI yakin pendekatan pelbagai saluran (multi-platform) akan memastikan kandungannya kekal relevan dan terus berkembang dalam pasaran Malaysia
“Kami optimis dengan pendekatan ini menerusi kekuatan katalog kandungan sedia ada melebihi 20,000 jam setahun serta lebih 90 juta pengguna aktif bulanan di YouTube.
“Malaysia bukan sekadar pasaran penonton, tetapi rakan strategik kami dalam menjayakan transformasi kandungan tradisional kepada ekosistem hiburan moden,” katanya.
Tambahnya, antara drama TVB yang dijadualkan untuk siaran di Malaysia dalam masa terdekat termasuk The Queen of News Musim Kedua yang dijangka ditayangkan pada November atau Disember tahun ini.
“Selain itu, The Queen of Castle yang berlatarbelakangkan dunia perubatan, serta Prism Breaker yang mengetengahkan penguatkuasaan undang-undang.
“Turut tersenarai ialah Heroes in White, sebuah drama berdasarkan kisah sebenar mengenai herba tradisional dan Mrs Revenge yang mengupas konflik rumah tangga suami isteri,” katanya. – UTUSAN










