PYONGYANG: Korea Utara melarang penyertaan pempengaruh atau influencer Barat dalam rombongan pelancong asing yang dijadual menghadiri pameran perdagangan antarabangsa pada Oktober depan.
Negara yang kekal terasing secara diplomatik kini membuka pintu kepada kumpulan pelawat antarabangsa sejak beberapa bulan lalu, termasuk ratusan atlet luar negara yang mengambil bahagian dalam Maraton Antarabangsa Pyongyang pada April lalu.
Agensi pelancongan Young Pioneer Tours (YPT) pada Sabtu lalu mengumumkan bahawa mereka akan membawa sekumpulan pelancong asing melawat negara tersebut dari 24 Oktober hingga 1 November.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Korea Utara meletakkan syarat baharu yang mengecualikan individu berprofil tinggi dalam media sosial Barat daripada menyertai lawatan berkenaan, dipercayai bagi mengelakkan liputan yang dianggap negatif terhadap rejim pimpinan Kim Jong-un.
Menurut laman web rasmi YPT, lawatan itu tidak dibuka kepada wartawan, pencipta kandungan pelancongan mahupun pempengaruh.
Pengasas bersama YPT, Rowan Beard, memberitahu AFP bahawa larangan terhadap pencipta kandungan adalah permintaan khusus daripada pihak Korea Utara.
“Kami menjangkakan apabila negara itu dibuka sepenuhnya kelak, mungkin akan ada pemeriksaan lebih ketat atau sekatan terhadap pempengaruh dan YouTuber yang ingin menyertai lawatan,” kata Beard.
Beliau berkata, syarikat itu tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai bila Pyongyang akan membenarkan semula kehadiran delegasi media rasmi.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa pempengaruh dalam talian berkongsi video berkualiti tinggi dalam Korea Utara.
Lawatan anjuran YPT itu, yang berharga kira-kira AS$6,000 (RM25,411), akan berlepas dari ibu negara China, Beijing, termasuk lawatan ke Pameran Perdagangan Antarabangsa Musim Luruh Pyongyang.










