KOTA BHARU: Terengganu FC (TFC) sudah menemukan pengganti Muhammad Safawi Rasid atau Pawi yang berhijrah ke Kuala Lumpur City FC (KL City).
Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, penyokong Terengganu bagaimanapun perlu menunggu perlawanan seterusnya untuk melihat kelibat pemain itu yang tidak diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang kelab Liga A1 Semi Pro, Kelantan Red Warriors (KRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.
Katanya, kegagalan mengikat Muhammad Safawi memang agak mengecewakan tetapi masih mampu menarik nafas lega apabila penyerang kelahiran Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid bersama pasukan sehingga musim depan.
“Sebenarnya kita sudah ada pengganti Muhammad Safawi tetapi kami tidak dapat menggunakan khidmatnya kerana tidak dapat menurunkan skuad penuh. Ia disebabkan barisan pemain import kita baru sahaja tiba di Malaysia dua hari lalu.
“Jadi saya ambil peluang pada perlawanan persahabatan ini untuk menguji barisan pemain muda yang dibawa naik daripada skuad TCF II,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Badrul Afzan berkata, apa yang ditunjukkan oleh TFC pada perlawanan itu masih jauh daripada keupayaan sebenar dan beliau yakin prestasi berbeza bakal dipersembah apabila skuad penuh Sang Penyu diturunkan pada perlawanan seterusnya.
Katanya, bagi musim 2025-2026, TFC hanya mendaftarkan enam pemain import dengan dua telah melaporkan diri, seorang dijangka tiba semalam dan seterusnya pada minggu depan.
“Kami turut mengekalkan pemain antarabangsa Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang merupakan tonggak pasuan pada musim lepas dan saya berharap dia akan terus bersama TFC untuk musim-musim seterusnya,” ujarnya.
Perlawanan itu menyaksikan KRW berjaya bangkit dari ketinggalan dua kali pada separuh masa pertama dan kedua, untuk memastikan kedudukan terikat 2-2 sehingga ke tiupan wisel penamat sekali gus menceriakan 13,320 penyokong di stadium. – UTUSAN










