DAEGU: Pihak berkuasa bandar Daegu mengeluarkan kira-kira 80 tan sampah dari sebuah rumah di daerah Suseong-gu, yang dihuni keluarga pengumpul barang lama.
Tiga penghuni rumah tersebut, seorang wanita berusia 60-an bersama sepasang anak masing-masing berusia 40-an, kini dimasukkan ke fasiliti perubatan tempatan untuk rawatan psikologi.
Anak lelakinya dilaporkan mengalami kecacatan intelektual yang teruk, manakala ibu dan anak perempuannya menghidap gangguan Plyushkin, sejenis gangguan mental yang menyebabkan mereka mempunyai tabiat mengumpul barang secara kompulsif.
Tabiat menyimpan barang selama bertahun-tahun itu mengakibatkan rumah berkenaan dipenuhi makhluk perosak, berbau busuk, sekali gus menimbulkan rungutan berterusan daripada jiran.
Pejabat Daerah Suseong-gu memaklumkan, pihaknya cuba menangani isu itu sejak 2020 dan melakukan kerja pembersihan sebanyak 11 kali.
Namun, keluarga terbabit tetap meneruskan tabiat menyimpan sampah, walaupun selepas campur tangan pihak berkuasa.
Pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan memaksa ketiga-tiga dihantar ke fasiliti perubatan, selepas penyakit mental mereka mengancam kesihatan orang lain.
Langkah itu hanya boleh dilakukan selepas mendapat pengesahan profesional perubatan dan kebenaran ketua kerajaan tempatan.
Selepas dimasukkan ke pusat rawatan, pihak berkuasa Suseong-gu berjaya memujuk keluarga berkenaan untuk memberikan persetujuan bagi pembersihatan menyeluruh kediaman mereka.
Operasi pembersihan yang dijalankan pada Jun lalu, mengambil masa tiga hari dan berjaya mengeluarkan kira-kira 80 tan sampah.
Suseong-gu juga merancang untuk membaiki rumah tersebut seperti menggantikan sinki rosak dan berjanji akan terus membantu keluarga lain yang mengalami gangguan penimbunan kompulsif atau ‘hoarding disorder’.- AGENSI










