PETALING JAYA: Malaysia beriltizam memperkukuh hubungan strategik dengan Perancis dalam usaha memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh keamanan sejagat dan pembangunan lestari dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis menjadi asas penting dalam menghadapi pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi dunia masa kini.
“Dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks, Malaysia terus komited bekerjasama dengan rakan seperti Perancis untuk memperjuangkan prinsip multilateralisme, mengekalkan keamanan dan kestabilan serta membina masa depan yang lebih adil dan mampan untuk semua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima sambutan rasmi penuh istiadat daripada Kerajaan Perancis di Hôtel des Invalides sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Lawatan tersebut menyaksikan Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Élysée, selain pertemuan dengan rakan sejawatannya, Francois Bayrou.
Antara agenda utama dibincangkan kedua-dua pemimpin termasuk isu perdagangan, pelaburan, semikonduktor, tenaga boleh baharu, pertahanan, ekonomi digital, pendidikan serta kecerdasan buatan (AI).
Krisis kemanusiaan di Gaza turut dijangka menjadi fokus perbincangan khususnya melibatkan usaha bersama ke arah penyelesaian damai dan bantuan kemanusiaan jangka panjang.
Sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan dua hala, Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan syarahan bertajuk “Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement” di Universiti Sorbonne, iaitu antara institusi intelektual dan budaya paling berprestij di dunia.
Menurut Anwar, lawatan ini juga menjadi platform penting bagi menjalin kerjasama lebih kukuh dengan sektor industri utama Perancis.
“Saya akan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama syarikat gergasi negara itu seperti Airbus, Thales, Imerys dan Arkema dalam usaha menarik pelaburan berteknologi tinggi ke Malaysia.
“Kerjasama dalam bidang strategik seperti semikonduktor, tenaga lestari dan pertahanan adalah penting bagi Malaysia bergerak seiring dengan transformasi ekonomi global,” katanya.
Delegasi Anwar disertai beberapa menteri Kabinet lain seperti Datuk Seri Mohamad Hasan; Datuk Seri Tenku Zafrul Abdul Aziz, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion) pada 2024.
Ia termasuk RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Selepas tamat lawatan di Perancis, Perdana Menteri dijadual berlepas ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS dari esok hingga 7 Julai ini. – UTUSAN











