ISU rasuah di Malaysia bukan sekadar masalah teknikal atau penguatkuasaan tetapi merupakan barah sosial yang telah lama membarah dalam setiap lapisan masyarakat – daripada rakyat marhaen hingga ke elit penguasa.
Perbincangan dalam kalangan ahli Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melahirkan pelbagai pandangan yang bernas mengenai akar masalah, kelemahan sistem sedia ada dan jalan penyelesaian yang memerlukan pendekatan menyeluruh.
Antara pandangan untuk merangka tindakan yang lebih berkesan dan praktikal dalam usaha membanteras rasuah :
1. Ketidakbebasan sistem kehakiman: Realiti atau persepsi?
Antara pandangan yang dilontarkan selagi sistem kehakiman tidak benar-benar bebas daripada pengaruh kuasa politik dan elit penguasa, usaha membanteras rasuah akan sentiasa terbantut. Namun begitu, hujah ini dikritik kerana tidak disokong oleh fakta kukuh, malah bersifat andaian umum yang boleh disalah tafsir sebagai tohmahan terhadap institusi kehakiman.
Meskipun demikian, persepsi ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Kepercayaan masyarakat terhadap sistem kehakiman adalah asas kepada ketelusan dan akauntabiliti negara.
Justeru, MCW menyarankan agar wujud audit awam dan reformasi institusi secara menyeluruh yang bukan sahaja memastikan kebebasan kehakiman tetapi juga dilihat bebas oleh rakyat.
2. Sistem bukan punca mutlak: Masalah terletak pada moral manusia
Seorang ahli mengingatkan sistem hanyalah alat dan manusia khususnya mereka yang berada dalam posisi kuasa yang dianggap punca utama penyalahgunaan kuasa. Sejarah membuktikan walaupun dalam sistem khilafah Islam yang agung, masih berlaku kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penganiayaan.
Kata Ibn Khaldun, “Baik ulama dan umara, baiklah umat. Rosak ulama dan umara, rosaklah umat.” Pandangan ini menegaskan peribadi dan akhlak pemimpin serta ilmuwan agama amat penting dalam menentukan hala tuju moral masyarakat. Ini menunjukkan pembanterasan rasuah memerlukan pembentukan manusia berintegriti terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang penggubalan sistem yang sempurna.
3. Kepentingan didikan awal: Membina generasi sifar rasuah
Pandangan ini memberi fokus kepada kepentingan pendidikan nilai antirasuah sejak di bangku sekolah. Ketika ini, ramai pelajar dan belia tidak memahami secara mendalam apa itu rasuah, bentuk-bentuknya dan kesan jangka panjang terhadap negara. Hal ini mengakibatkan mereka mudah terjebak dalam perangkap sogokan apabila memasuki alam pekerjaan.
MCW menyokong penuh cadangan ini dan menyarankan pendekatan pendidikan holistik melalui kempen kreatif seperti video pendek, lakonan, demo mahkamah dan pertandingan idea antirasuah di sekolah dan institusi pengajian tinggi ( IPT). Pendidikan awal merupakan pelaburan jangka panjang yang akan menghasilkan generasi pemimpin dan pekerja yang tahan uji terhadap godaan rasuah.
4. Ancaman terhadap pemberi maklumat: Menutup pintu kebenaran
Satu isu kritikan yang diketengahkan ialah layanan terhadap pemberi maklumat atau whistleblower. Dalam beberapa kes, termasuk di Sabah, pemberi maklumat didakwa lebih awal daripada tertuduh asal, sebelum siasatan kes utama diselesaikan. Ini menimbulkan persepsi pihak berkuasa cuba menutup kes rasuah yang sebenar dengan menekan individu yang berani tampil ke hadapan.
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA 2010) seharusnya menjamin keselamatan fizikal, kerjaya dan reputasi pemberi maklumat, bukannya menjadi instrumen untuk menghukum mereka sebelum siasatan selesai. Jika perkara ini tidak diperbetulkan, ramai rakyat akan memilih untuk berdiam diri, sekali gus menghalang pendedahan kes-kes rasuah yang besar.
MCW mencadangkan agar satu mekanisme pemantauan pelaksanaan WPA 2010 diwujudkan secara bebas, serta mengkaji semula prosedur siasatan yang adil terhadap pemberi maklumat yang mungkin terlibat secara sampingan. Prinsipnya mudah – siasat kes asal dahulu, dan jika ada bukti kukuh, barulah tindakan terhadap pemberi maklumat boleh diambil tanpa menjejaskan integriti laporan awal.
5. Realiti persepsi lwn.fakta: Siapa berani bertindak?
Perbincangan turut menyentuh hakikat banyak isu rasuah dibuktikan dengan fakta dan kes-kes terdahulu, namun tidak diangkat oleh pemikir atau penggubal dasar. Di sisi lain, masyarakat pula dipaksa menerima naratif institusi tertentu adil, bersih dan cekap, walaupun persepsi awam menunjukkan sebaliknya.
Ini menunjukkan keperluan pendekatan baharu dalam mendekati masyarakat. MCW perlu memainkan peranan sebagai jambatan yang menyatukan bukti akademik dengan gerakan sosial. Kita mesti mencungkil dan memajukan pemikiran kritikal dalam kalangan masyarakat, serta menyediakan ruang selamat untuk wacana terbuka berkaitan integriti institusi negara.
6. Saranan strategik MCW: Jalan ke hadapan
Berdasarkan keseluruhan perbincangan, MCW menggariskan beberapa langkah strategik:
• Reformasi pendidikan antirasuah: Memperkenalkan kurikulum khas berkaitan integriti dan antirasuah di peringkat rendah dan menengah secara lebih sistematik.
• Perlindungan pemberi maklumat: Mencadangkan pindaan kepada WPA 2010 agar siasatan terhadap maklumat mendahului siasatan terhadap pemberi maklumat.
• Audit bebas sistem kehakiman: Menuntut ketelusan sistem kehakiman dan pelantikan melalui jawatankuasa Parlimen yang bebas.
• Perkongsian pengetahuan dan wacana awam: Menggalakkan penyelidikan akademik bebas, pendedahan kes dan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti dan media.
• Pembinaan individu berakhlak tinggi: Fokus kepada pendidikan akhlak Islam, ketahanan diri dan semangat khidmat kepada masyarakat dalam kalangan pelajar dan penjawat awam muda.
Rasuah bukan sekadar jenayah kewangan tetapi pengkhianatan terhadap amanah rakyat. Untuk membanterasnya, kita tidak boleh hanya bergantung kepada sistem atau undang-undang, tetapi perlu menyentuh akar persoalan: iaitu sikap, integriti dan budaya masyarakat itu sendiri.
Sebagai NGO yang komited dalam perjuangan antirasuah, MCW mesti terus menjadi suara yang lantang, rasional dan strategik. Kita bukan sahaja perlu menyemarakkan kempen kesedaran tetapi juga mendorong reformasi struktur secara kolektif dengan keberanian moral dan hujah yang kukuh.
Kita tidak boleh berundur. Perjuangan ini mesti diteruskan, bukan demi nama tetapi demi negara.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).











