E-Invois fasa 3 sasar pembayar cukai dengan hasil RM5j - RM25j

E-Invois fasa 3 sasar pembayar cukai dengan hasil RM5j – RM25j

SHAHARRUDY Othman (tengah) ketika merasmikan Pelancaran Pelaksanaan e-Invois bagi Pembayar Cukai Fasa Ketiga, di Menara Bangsawan, Menara Hasil, Cyberjaya. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan fasa ketiga e-Invois bermula semalam, membabitkan kira-kira 55,000 pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Shaharrudy Othman berkata, pihaknya komited memberikan sokongan berterusan kepada pembayar cukai, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pelbagai program promosi serta pendidikan.

“LHDN terus mempergiat usaha mendidik dan memberi penerangan kepada kumpulan sasar agar pelaksanaan e-Invois dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Pelaksanaan e-Invois bagi Pembayar Cukai Fasa Ketiga, di sini.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 352 juta e-Invois telah dikemukakan melalui sistem MyInvois.

“Jumlah itu melibatkan lebih 37,800 pembayar cukai, merangkumi lebih 5,400 pembayar cukai fasa pertama dan lebih 13,000 pembayar cukai fasa kedua yang telah mula menggunakan e-Invois sejak 1 Januari 2025.

“Selain itu, lebih 19,000 pembayar cukai lain yang melaksanakan secara sukarela lebih awal daripada tarikh ditetapkan.

“Kita amat menghargai pembayar cukai yang mengambil inisiatif untuk melaksanakan e-Invois lebih awal secara sukarela,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan tempoh kelonggaran pelaksanaan e-Invois bagi fasa kedua telah tamat pada 3 Jun lalu dan pembayar cukai terlibat perlu melaksanakannya sepenuhnya mengikut garis panduan bermula 1 Julai.

“Bagi memastikan sokongan berterusan kepada PMKS yang akan memulakan pelaksanaan e-Invois bermula hari ini, LHDN telah menggandakan sesi taklimat berkaitan serta memperluas penggunaan Portal MyInvois di semua negeri.

“LHDN turut menyediakan laman mikro khas e-Invois melalui portal rasmi agensi serta menggunakan pelbagai saluran komunikasi untuk menyampaikan maklumat berkaitan,” katanya.

Shaharrudy berkata, pihaknya akan terus memperkukuh komunikasi dengan semua peringkat perniagaan, pengamal percukaian, badan profesional dan pihak berkepentingan bagi memperluas kesedaran dan kefahaman mengenai manfaat pelaksanaan e-Invois.

“Bagi membantu kelancaran pelaksanaan, kami turut menyediakan kaunter perkhidmatan khas di seluruh negara bagi membantu pembayar cukai memahami penggunaan Portal MyInvois, aplikasi MyInvois serta sistem MyInvois e-Post yang disediakan secara percuma,” katanya.

Tambahnya, pembayar cukai disarankan mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan melalui kaunter LHDN berhampiran bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar dan mengikut garis panduan yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×