PUTRAJAYA: Bekas pakar patologi sebuah hospital tentera, Dr. R. Kunaseegaran, 62, reda dengan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan membunuh Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Datuk Anthony Kevin Morais, 10 tahun lalu.
Peguam Datuk N. Sivananthan memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan bahawa beliau telah mendapat arahan untuk tidak membuat sebarang rayuan berhubung hukuman, selepas mahkamah mengekalkan sabitan salah terhadap lelaki itu.
“Arahan yang saya terima (daripada anak guam) adalah untuk menarik balik rayuan berhubung hukuman,” kata Sivananthan.
Kenyataan itu membuatkan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim bertanya semula mengenai perkara itu.
Sivananthan kemudian mengulangi arahan yang diberikan oleh kakitangan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) itu.
Selain Hakim Abang Iskandar, panel diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.
Terdahulu, panel itu sebulat suara mengekalkan sabitan salah terhadap dua lagi perayu iaitu bekas pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 54, dan penganggur, S. Nimalan, 32.
Bagaimanapun, panel meminda hukuman mati bagi kedua-dua mereka selepas membenarkan rayuan Ravi Chandaran dan Nimalan.
Ravi Chandaran dikenakan hukuman penjara 40 tahun dan tidak dikenakan hukuman sebatan kerana telah melebihi umur 50 tahun manakala Nimalan dikenakan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan.
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan melepaskan dan membebaskan tiga lagi perayu daripada sabitan salah tuduhan membunuh Kevin selepas mendapati tiada bukti mencukupi untuk terus mengaitkan mereka dengan kesalahan itu.
Tiga perayu itu ialah R. Dinishwaran, 33; A. K. Thinesh Kumar, 32 dan M. Vishwanath, 35.
Sementara itu, Datuk Richard Morais, adik kepada mendiang Kevin ketika ditemui selepas tamat prosiding menyatakan, dia perlu menerima apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
“Apa lagi yang saya boleh katakan, saya perlu menerima apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. (Bagaimanapun), individu yang sepatutnya menerima (hukuman mati) telah dapat apa yang sepatutnya.
“Tiada apa yang saya boleh katakan lagi, saya (hanyalah) seorang adik yang terpaksa mengebumikan abangnya,” kata Richard.
Kesemua perayu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 10 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Kevin dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2024.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Kevin ketika mangsa dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015, yang mana sebelum itu mangsa dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta dengan menaiki kereta Proton Perdana.
Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah ketika memberi keterangan, Kevin mati akibat kelemasan udara atau probable asphyxiation berkemungkinan akibat diserkup dengan beg plastik. – UTUSAN










