KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin UMNO mula tiba di Menara Dato Onn di sini, bagi menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Antara pimpinan yang hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa pemimpin tertinggi lain.
Setakat ini, terdapat sekitar 20 petugas media daripada pelbagai agensi berkumpul di lobi menara berkenaan bagi membuat liputan mesyuarat terbabit.
Kelmarin, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, fokus utama perbincangan malam ini adalah berkenaan isu penggantungan keahlian bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu bergantung sama ada ia dibangkitkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau sebaliknya.
Beliau berkata, keputusan penggantungan Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan itu sebelum ini dibuat dalam MKT UMNO, maka keputusan lanjut juga akan dibuat menerusi mesyuarat tertinggi sama
Ahmad Zahid pula sebelum ini dilaporkan berkata, MKT boleh mempertimbangkan untuk menarik semula penggantungan Hishammuddin, walaupun Ahli Parlimen Sembrong itu tidak mengemukakan sebarang rayuan.
Beliau turut mengingatkan bahawa MKT tidak akan menggantung atau memecat mana-mana ahli melainkan kesalahan telah dikenal pasti.
Sebagai rekod, Hishammuddin digantung selama enam tahun pada Januari 2023 diikuti bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan manakala bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pula dipecat. – UTUSAN









