ARAU: MCA perlu terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) walaupun menghadapi cabaran terutama berkaitan pengagihan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kelak.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, ketika BN kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan, cabaran berkenaan pengagihan kerusi juga dihadapi oleh UMNO.
“Apabila bekerjasama dengan PH, ini juga akan menyebabkan UMNO turut kehilangan banyak kerusi. Jadi, MCA tidak boleh anggap kerjasama dengan PH ini, apabila DAP banyak memenangi kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Cina, maka MCA akan kehilangan kerusi.
“UMNO juga akan berdepan cabaran yang sama. Kami harap MCA akan terus bersama BN. UMNO, MCA dan MIC telah lama bersama dan bekerja keras untuk memerdekakan negara ini.
“Kerjasama ketiga-tiga bangsa dalam parti ini, janganlah kita kuburkan hanya kerana ada sikit salah faham dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, UMNO dan PH akan menjalinkan kerjasama di Perlis dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) termasuk melibatkan soal pembahagian kerusi.
Katanya, dalam soal pembahagian kerusi juga terdapat persetujuan dicapai sebelum ini mengikut beberapa penetapan.
Ujarnya, sebagai contoh, parti mana yang mendapat tempat kedua tertinggi dalam pilihan raya umum lalu, akan bertanding semula di kerusi berkenaan dan perkara tersebut juga digunapakai dalam penetapan kerusi selepas ini.
“Kepemimpinan Pusat juga akan bincang untuk tentukan mengenai perkara ini dan bagi konteks UMNO, saya percaya kita akan tanding lebih kerusi di negeri ini dalam PRU16 akan datang.
“Ini kerana hampir semua kerusi di Perlis, UMNO mendapat tempat kedua dan oleh sebab itulah adanya semangat dan kebersamaan dengan parti-parti rakan untuk membincangkan mengenai perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rozabil juga yakin UMNO dan BN mempunyai peluang merampas semula negeri ini sekali gus memberi cabaran kompetitif kepada PN dalam PRU16. – UTUSAN











