8 tahun SMK Kubor Panjang cemerlang keputusan STPM

Lapan tahun SMK Kubor Panjang cemerlang keputusan STPM

LEPASAN pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang bersama guru ketika pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Pendang, Kedah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang yang diumumkan sebagai sekolah terbaik dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 mencatatkan peningkatan konsisten sejak 2017.

Dalam tempoh lapan tahun berturut-turut, sekolah yang terletak hampir 30 kilometer dari Bandaraya Alor Setar itu memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) yang semakin baik pada setiap tahun.

Pengetuanya, Mohd. Fadzli Abd. Aziz berkata, pada 2017 sekolah itu mencatatkan GPS 2.73 sebelum naik kepada 2.81 pada tahun berikutnya dan mencecah 3.04 dua tahun kemudian.

Katanya, peningkatan drastik mula dilihat pada STPM 2021 apabila SMK Kubor Panjang mendapat GPS 3.17 dan terus menaik 3.30 (2022); 3.43 (2023) dan terbaharu 3.46, bagi keputusan tahun lalu.

“Sebenarnya untuk hala tuju STPM sekolah ini bagi 2025 hingga 2027, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan adalah mendapat GPS 3.50 pada 2027 nanti tetapi kejayaan ini hadir awal apabila dapat 3.46 pada 2024.

“Maka saya yakin SMK Kubor Panjang boleh mencapai GPS 3.50 ke atas tidak lama lagi melihat kepada konsisten pelajar dan para guru tingkatan enam yang bertungkus lumus mahu memastikan kejayaan sekolah dan diri mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kejayaan itu membolehkan SMK Kubor Panjang dianugerahkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Mod 2 Gred Purata STPM Terbaik Malaysia 2024 oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada minggu lalu.

Mohd. Fadzli berkongsi resepi kejayaan berkata, permulaannya adalah menukar nama kelas kepada nama universiti tempatan sebagai satu motivasi. 

“Selain itu, saya terapkan sahsiah dalam kalangan pelajar kerana bagi saya untuk berjaya mesti ada sikap ini, keduanya kita adakan bicara pengetua pada setiap Rabu dengan berjumpa mereka untuk bincang masalah berkaitan pelajaran.

“Perkara ketiga adalah setiap kali keputusan peperiksaan saya akan adakan dialog prestasi bersama guru dan pelajar selain pemantauan berkala,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×