Hemmant Trail, laluan pilihan utama bagi pengunjung yang ingin melakukan aktiviti meredah hutan di Bukit Fraser.
Ini berikutan, laluan berkenaan yang panjangnya hanya satu kilometer, memudahkan sesiapa sahaja tidak kira warga tua mahupun kanak-kanak untuk melaluinya dengan mudah tanpa sebarang cabaran.
Menariknya, di laluan tersebut, pengunjung dapat mengenali dengan melihat sendiri tumbuh-tumbuhan secara lebih dekat yang boleh didapati di kawasan tanah tinggi.
Baru-baru ini, saya juga berkesempatan mengikuti rombongan yang diketuai oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia untuk merasa sendiri pengalaman meredah hutan di Hemmant Trail sambil mempelajari kehidupan di dalam hutan berkenaan.
Antaranya, kami didedahkan dengan pelbagai jenis pokok halia liar yang hanya dapat hidup di kawasan tersebut.
Di samping itu, kami amat bertuah kerana dapat melihat kesan tanah yang baru sahaha dikorek oleh babi hutan untuk mendapatkan sumber makanan seperti cacing dan tumbuhan.
KAMERA KHAS
Menurut Pengurus Kawasan Terlindung Program Pemuliharaan Bukit Fraser WWF Malaysia, Carell Cheong, kawasan perhutanan tersebut merupakan khazanah alam semulajadi yang masih menjadi penyelidikan mereka.
Justeru itu, Bukit Fraser bukan sekadar tempat untuk dijadikan tarikan pelancongan semata-mata.
Katanya, usaha yang dijalankan oleh WWF Malaysia bertujuan memastikan kelestarian biodiversiti agar khazanah alam semula jadi negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Dalam masa sama, ekosistem hutan tanah tinggi itu dapat diperkukuhkan dan menjaga kepentingan masyarakat setempat, terutama kehidupan etnik Orang Asli, yang bergantung secara langsung kepada alam sekitar.
Menariknya, Bukit Fraser yang terletak dalam kawasan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa, merupakan antara kawasan hutan semula jadi yang masih utuh di Semenanjung Malaysia.
Ujarnya, WWF Malaysia masih lagi mengenal pasti spesis haiwan yang hanya boleh didapati di kawasan tanah tinggi, dijadikan sebagai habitat kehidupan itu.
Sehubungan itu, saya juga turut mempelajari fungsi pemasangan kamera khas yang digunakan untuk mengkaji kehidupan fauna di dalam hutan tersebut.
Kamera khas yang diperkenalkan oleh WWF Malaysia, tidaklah seperti gajet yang digunakan gambar biasa.
Ia dilengkapi dengan inframerah dan sensor bagi mengenal pergerakan haiwan yang melalui kamera tersebut.
Pegawai Program Kanan Kawasan Terlindung WWF Malaysia, Mohamad Farhan Mohd Zaid, berkata gambar haiwan yang melalui kamera tersebut secara automatik akan ditangkap tidak kira waktu siang mahupun malam.
Kami juga turut diberi peluang untuk memasang sendiri kamera tersebut di pokok, selaras dengan ketinggian atau paras jenis haiwan yang akan melaluinya.
Katanya, kamera yang dipasangkan oleh WWF Malaysia membantu mereka memgenal pasti jumlah haiwan yang terancam terutama harimau belang.
Saya berasa sangat bertuah kerana tidak semua yang datang ke tempat tersebut mendapat peluang sebegitu.
Penjelasan yang diberikan bukan sahaja menambah ilmu, malah turut menyedarkan kami pentingnya usaha pemuliharaan hutan semula jadi.










