KUALA TERENGGANU: Lesen pengusaha bot pelancong atau tekong yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan akan digantung bagi memberi pengajaran dan memastikan keselamatan para pelancong terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan tegas itu akan disyorkan kepada Jabatan Laut yang bertanggungjawab mentadbir urusan perkapalan dan pelabuhan serta hal ehwal maritim di perairan Malaysia.
“Kerajaan negeri akan hantar surat cadangan kepada Jabatan Laut untuk mereka tarik atau gantung lesen pengusaha bot atau tekong yang cuai sehingga menyebabkan kemalangan. Bagaimanapun , tarik atau gantung bergantung kepada kes,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman hari ini.
Kelmarin, tiga termasuk dua kanak-kanak maut apabila bot pelancong yang membawa 15 penumpang terbalik dibadai ombak kuat di perairan Pulau Perhentian di Besut, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, bot yang dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil menuju ke Pulau Perhentian Besar dipercayai hilang kawalan dan terbalik kira-kira 0.05 batu nautika dari Cozy Chalet Resort.
Susulan kejadian itu, polis dilapor akan meneliti pelbagai aspek siasatan termasuk pemakaian jaket keselamatan ketika menaiki bot terutama di pulau-pulau peranginan, bot dan teksi air atau teksi bot tidak boleh beroperasi selepas pukul 6.30 petang serta pengambilan penumpang yang melebihi kapasiti.
Razali berkata, sebanyak 70 peratus sektor pelancongan tertumpu di pantai dan pulau di negeri ini.
“Oleh itu kita ada beberapa rakan strategik seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut yang kita sentiasa buat sesi libat urus untuk penguatkuasaan dan sebagainya.
“Kerajaan negeri dan agensi penguatkuasaan yang lain akan lebih kerap turun padang bagi memberi penerangan kepada operator pelancongan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) bagi menguruskan penumpang dan pelancong,”katanya.
Beliau berkata, di Terengganu terdapat sebanyak 628 pengusaha bot pelancong berlesen yang beroperasi di pulau peranginan termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah. – UTUSAN











