BEIJING: Pasukan pakar perubatan di China dikejutkan dengan penemuan sebatang berus gigi sepanjang 17 sentimeter (sm) yang tersangkut dalam usus kecil seorang lelaki warga emas selama lebih setengah abad.
Lelaki lelaki berusia 64 tahun yang hanya dikenali dengan nama keluarga Yang, tampil mendapatkan rawatan selepas berasa sakit di bahagian perut.
Doktor mendapati terdapat objek asing yang tersangkut dalam sistem pencernaannya dan hasil pemeriksaan lanjut menunjukkan ia adalah berus gigi yang ditelannya sendiri ketika berusia 12 tahun.
Menurut Yang, beliau masih mengingati insiden itu tetapi terlalu takut untuk memberitahu ibu bapanya kerana katanya lagi, ketika itu beliau menyangka berus gigi tersebut akan hancur dan keluar melalui najis dari tubuhnya.
“Saya fikir ia akan hilang begitu sahaja. Sejak kejadian itu saya tidak rasa apa-apa masalah sehinggalah baru-baru ini,” katanya.
Doktor melakukan pembedahan endoskopik dan berjaya mengeluarkan berus gigi tersebut dalam tempoh 80 minit, menjadikannya antara objek paling panjang pernah dikeluarkan dari sistem pencernaan pesakit di hospital berkenaan dalam tempoh tiga tahun.
Menurut Dr. Zhou yang mengetuai pasukan perubatan tersebut, secara lazimnya berus gigi berisiko menembusi dinding usus dan mengakibatkan kecederaan dalaman yang boleh membawa maut.
“Yang sangat bernasib baik kerana berus gigi itu tersangkut di satu lekuk dalam usus dan tidak bergerak sepanjang puluhan tahun,” katanya.
Penemuan itu mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan warganet di China di mana ada yang tertanya-tanya bagaimana seseorang boleh menelan berus gigi dan terus hidup tanpa sebarang komplikasi selama lebih 50 tahun.–AGENSI










