Budaya, permainan tradisional di Pantai Cherating kini lenyap

Budaya, permainan tradisional di Pantai Cherating kini lenyap

TUNKU MARIO IZMIR Tunku Abdul Ilal menunjukkan Pusat Kebudayaan Cherating yang kini terbiar tanpa pemantauan dan ditumbuhi semak samun. - UTUSAN/SHAIK AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pantai Cherating terutama di Pantai Cherating lama di sini bukan sahaja suram ekoran kekurangan pelancong, malah kompleks budaya yang pernah dibangunkan pihak berkuasa tempatan di sini terbiar begitu sahaja.

Akibat vandalisme dan kecurian, premis itu kini rosak teruk, siling-siling habis runtuh, barangan seperti pendingin hawa, mangkuk tandas dan besi-besi dicuri serta dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, lokasi tersebut pernah menjadi ‘port’ mat dadah tidur terutama di kawasan atas siling dan menghidap bahan terlarang tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penduduk Kampung Inn, Tunku Mario Izmir Tunku Abdul Ilal, 33, berkata, dahulu ada pertunjukan wau bulan, wayang kulit, batik dan permainan tradisional penduduk di kompleks budaya itu.

Malah katanya, ramai pelancong datang ke kompleks ini untuk melihat sendiri budaya yang ada di Cherating, namun kini ia lenyap begitu sahaja.

“Saya percaya, jika dihidupkan kembali, ia dapat meningkatkan populariti lokasi ini di mata dunia. Sebagai penduduk, saya mahu merasai kemeriahan seperti era 90-an yang mana destinasi ini sibuk dengan kehadiran pelancong asing.

“Kalau ada pelancong luar yang masuk dan berbelanja, anak muda kampung boleh berniaga dan tidak perlu cari kerja di luar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, Pantai Cherating yang suatu ketika dahulu antara lokasi pelancongan terkemuka di negara ini dan menjadi tumpuan dunia kerana keindahannya, kini semakin suram serta sepi tanpa kehadiran pelancong ke kawasan berkenaan.

Keadaan tersebut sudah berlaku lebih 10 tahun menyebabkan ada resort dan hotel tutup dan gulung tikar. Lebih membimbangkan, ada bangunan dibiarkan usang dan dalam keadaan menakutkan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Marin, Kuliah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Dr. Mohd. Zaini Mustapa berkata, masalah hakisan yang berlaku di Cherating menyebabkan pantai itu hilang nilai estetika dan tidak lagi menarik kehadiran pelancong.

“Masalah hakisan menyebabkan pengunjung hilang akses kepada pantai yang sebelum ini boleh dikunjungi atau dilawati dengan mudah.

“Saya pernah melawat sebuah resort beberapa bulan lalu. Ia memang terhakis agak teruk dan pihak berkuasa sudah pun memasang tembok batu. Situasi ini merubah lanskap asal pantai tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×