CADANGAN kerajaan untuk membangunkan projek perumahan rakyat di atas atau berhampiran stesen pengangkutan awam disifatkan sebagai langkah berimpak tinggi dalam mengurangkan kos sara hidup, khususnya dari aspek mobiliti rakyat berpendapatan rendah.
Inisiatif itu bukan sahaja menjimatkan kos pengangkutan isi rumah, malah berpotensi melonjakkan pelaburan swasta dan mewujudkan ekosistem bandar yang lebih mampan serta inklusif.
Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya projek perumahan rakyat yang baharu dibangunkan di atas atau berhampiran stesen pengangkutan awam sebagai langkah menggalakkan penggunaan perkhidmatan itu cara menyeluruh.
Anwar berkata, konsep pembangunan perumahan sedemikian bukan sahaja mampu menyediakan kediaman yang lebih strategik kepada golongan berpendapatan rendah tetapi juga membuka jalan kepada gaya hidup bandar yang lebih mampan dan tersusun.
Pensyarah Kanan UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pendekatan sedemikian menyumbang kepada penggunaan sumber sedia ada seperti tanah, elektrik dan air secara lebih efisien, selain mengurangkan keperluan pelaburan infrastruktur baharu oleh kerajaan.
“Dengan kemudahan asas sedia ada, kerajaan boleh jimat banyak dari segi perbelanjaan modal. Malah, ia boleh menarik minat pelabur swasta untuk menyertai ekosistem bandar melalui penyediaan produk dan perkhidmatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kewujudan komuniti setempat yang signifikan juga mampu merangsang peluang perusahan kecil, mikro dan sederhana (PMKS), terutamanya dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan.
“Langkah ini turut membuka akses yang lebih baik kepada peluang pekerjaan, yang lazimnya tertumpu di pusat bandar.
“Secara tidak langsung, ia mengimbangi penumpuan populasi asing di bandar utama akibat harga hartanah yang tidak mampu dimiliki warga tempatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, aspek pengurusan dan penyelenggaraan perlu diberi perhatian serius agar tidak berulang persepsi negatif terhadap projek perumahan rakyat.
“Pengurusan yang sistematik penting bagi mengelakkan kawasan tersebut menjadi lokasi penyewaan pekerja asing secara berlebihan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian komuniti,” katanya.
Sementara itu, penganalisis hartanah, Ahyat Ishak menyifatkan cadangan membina rumah mampu milik berhampiran pengangkutan awam sebagai langkah tepat ke arah menangani isu kos sara hidup dan menggalakkan mobiliti.
Katanya, inisiatif itu juga menyokong sasaran kerajaan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, khususnya di kawasan Lembah Klang yang kini hanya mencatatkan kadar penggunaan 21 peratus berbanding 79 peratus yang masih bergantung kepada kenderaan persendirian.
“Kerajaan menyasarkan kadar penggunaan pengangkutan awam 50 peratus menjelang 2040 di peringkat nasional dan 70 peratus di bawah pelan Aspirasi Rendah Karbon 2040 dalam Dasar Tenaga Negara.
“Bagi mencapai sasaran ini, perumahan rakyat dalam zon pembangunan berorientasikan transit (TOD) adalah komponen utama,” katanya.
Beliau merujuk model pembangunan Rail + Property (R+P) di Hong Kong yang terbukti berjaya menyediakan dana mampan untuk kewangan sistem rel serta menyumbang kepada penyediaan rumah mampu milik.
Bagaimanapun, beliau turut memberi peringatan agar Malaysia tidak mengulangi kesilapan beberapa negara Eropah seperti Switzerland, di mana perubahan zon guna tanah (upzoning) menyebabkan pembangunan TOD disasar untuk perumahan rakyat akhirnya bertukar menjadi projek mewah.
“Peningkatan nilai tanah menarik pemaju swasta hanya untuk projek pulangan tinggi, yang akhirnya menyumbang kepada proses gentrifikasi dan menyingkirkan penduduk asal berpendapatan rendah dari kawasan TOD,” jelasnya.
Sebagai alternatif, Ahyat mencadangkan agar Malaysia meneliti model pembangunan di Singapura dan Denmark yang berjaya mengekalkan keseimbangan antara kediaman mampu milik dan akses kepada pengangkutan awam.
“Sebanyak 80 peratus rakyat Singapura tinggal di flat Housing & Development Board (HDB) yang hampir kesemuanya dalam jarak 10 minit berjalan kaki ke stesen Transit Aliran Massa (MRT),” ujarnya.-UTUSAN










