KONSEP perkahwinan moden hari ini yang mengangkat prinsip perkongsian ekonomi keluarga 50/50 antara suami isteri tidak boleh dijadikan alasan untuk lelaki melepaskan tanggungjawab memberi nafkah kepada pasangan mereka.
Dalam Islam menyediakan nafkah adalah kewajipan mutlak suami dan tidak boleh dipindahkan kepada isteri sewenang-wenangnya.
Malah para ulama menegaskan, perkara itu jika tidak diredai isteri dan tanpa tolak ansur kedua-dua pihak hanya menjerumuskan lelaki kepada dosa yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Menurut agamawan, Tuan Guru Ustaz Ismail Mahmud yang juga pengasas Pondok Charok Tala, Sik, suami yang sengaja membiarkan isteri menanggung beban kewangan rumah tangga, sedangkan dia mampu bekerja, berdosa dan mengabaikan perintah syarak.
“Suami isteri mesti tahu hak. Suami sediakan rumah, kenderaan dan makan minum serta pakaian. Isteri tidak perlu bekerja pun tetapi sekarang sebab hendak tampung hidup terutama di bandar besar, si isteri perlu bekerja bantu suaminya.
TUAN GURU USTAZ ISMAIL MAHMUD
Umur:56
Pendidikan
Sekolah Rendah Lanai, Baling
Pondok Lanai, Baling
Pondok Pasir Tumboh Kota Bharu Kelantan
Pondok Lubok Luas Pattani
Pesantren Ain, Medan
Pondok Makmawi Pattani
Jawatan
Mudir Madrasah Muhammadiah
Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Malaysia – Kedah
Ahli Majlis Daerah Sik
“Suami yang tidak memahami hak dan memaksa isteri bekerja tanpa diredai wanita itu akan jatuh berdosa. Itu sebabnya sebelum berkahwin kena tahu dia mampu ke tidak apatah lagi bagi lelaki yang ingin berpoligami,” katanya ketika ditemui di Pondok Charok Tala yang juga dikenali sebagai Madrasah Muhammadiah di Kampung Charok Tala, Sik baru-baru ini.
Katanya, perkahwinan 50/50 sering menjadi perbahasan namun ramai terlupa asas perkahwinan dalam Islam jauh lebih luas dan mendalam kerana ia bukan sekadar soal tanggungjawab, tetapi kesedaran terhadap hak, amanah, dan tuntutan syariat.
Jelasnya, dalam masyarakat moden semakin ramai pasangan mengamalkan konsep perkongsian ekonomi dalam rumah tangga namun jika tidak berpaksikan agama boleh menimbulkan konflik, terutama apabila suami gagal menjalankan tanggungjawab nafkah, lalu mengharap isteri mengisi kekurangan tanpa reda atau kemampuan.
“Suami yang memaksa isteri bekerja tanpa sebab munasabah menanggung dosa, kecuali jika isteri reda dan rela membantu,” tambah beliau yang bertalaqi dengan puluhan ulama di Nusantara sebelum ini.
Meminjam kalam daripada Ulama Nusantara Sheikh Nawawi al-Bantani dalam kitab Uqudul Lujain, kata beliau, penting untuk lelaki dan wanita mendalami ilmu sebelum berkahwin.
“Dalam kitab itu dijelaskan hak dan tanggungjawab suami isteri, adab dalam hubungan, serta kesan dosa dalam rumah tangga. Perkahwinan tanpa ilmu, walaupun bermula dengan cinta, boleh berakhir sengsara.
“Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan…” Ini menunjukkan perkahwinan adalah jalan fitrah untuk saling mengenal, membina keturunan, dan memakmurkan bumi dengan amanah khalifah.
“Rasulullah SAW turut menggariskan empat kriteria dalam memilih pasangan iaitu harta, keturunan, rupa, dan agama. Namun paling utama agama, kerana dengannya datang keberkatan dan ketenangan,” katanya.
Malah jelasnya, perkahwinan yang berkat bermula dari alam pertunangan apabila setiap pasangan memahami batas masing-masing sehingga ke hari diijabkabulkan.
“Pertunangan yang terlalu lama dan pergaulan bebas sebelum nikah amat ditegah Islam. Ia membuka pintu zina dan merosakkan nilai perkahwinan. Islam menutup pintu maksiat sebelum ia terbuka dengan larangan: “Jangan kamu mendekati zina…” (Surah Al-Isra: 32).
“Pertunangan bukan lesen untuk bergaul bebas kerana kesudahannya tidak baik. Orang sekarang baru bertunang bebas ke sana sini. Itu tidak elok,” jelasnya.
Tambahnya, perkahwinan bukan hanya tentang perkongsian ekonomi atau emosi, tetapi jalan menuju reda Allah.
“Rasulullah SAW adalah suri teladan terbaik. Baginda membantu isteri di dapur, sehinggalah bila masuk waktu solat Rasulullah akan berhenti,” jelasnya. – UTUSAN









