Mi kari udang galah jadi sajian unik

Mi kari udang galah jadi ‘killer menu’

DASLE Asrab Mokhtar dan Ratni Jumin menunjukkan menu mi kari udang galah yang menjadi tarikan utama di warung mereka di Pedas, Rembau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan warung kecil bagi menambah pendapatan keluarga, pasangan suami isteri, Dasle Asrab Mokhtar, 51, dan Ratni Jumin, 53, kini boleh berbangga apabila perniagaan mereka menjadi tumpuan wajib pelancong dan pengunjung tempatan yang mencari sajian unik Rembau, Negeri Sembilan.

Menu ikonik mereka di warung Mee Kari Udang Galah Route N9, yang terletak di tepi Jalan Pedas-Linggi kira-kira 300 meter dari susur keluar Tol Pedas/Linggi, telah diusahakan sejak tahun 2003 dan kini menjadi antara killer menu di kawasan itu.

Menurut Dasle Asrab, idea menghasilkan mi kari berasaskan udang galah tercetus apabila dia memperoleh bekalan udang galah dengan harga murah iaitu sekitar RM1 seekor pada ketika itu.

“Ketika itu kami hanya jual mi kari biasa pada harga RM8.50 semangkuk. Bila ada yang menjual udang galah pada harga rendah, saya terfikir untuk gabungkan mi kari dengan udang galah, lebih istimewa dan lain daripada lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Cubaan pertama mereka itu ternyata membuahkan hasil dan menu yang dijual pada harga RM12.50 ketika itu mendapat sambutan. Pasangan itu kemudian melakukan lebih 10 kali percubaan resipi demi mengekalkan kualiti rasa.

Hari ini, semangkuk mi kari udang galah gred A dan B dijual pada harga RM29.50 dan mampu terjual sehingga 200 mangkuk seminggu, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti.

“Kami memang utamakan kualiti. Hanya udang galah segar dan bersaiz besar digunakan untuk memastikan pelanggan berpuas hati,” jelas Dasle.

Selain menu utama itu, terdapat hidangan lain seperti masak lemak itik salai, ayam salai dan asam pedas yang turut disediakan di warung yang mula beroperasi seawal pukul 8 pagi sehingga 5 petang itu.

Sementara itu, Ratni berkata, sambutan pelanggan amat memberangsangkan, terutamanya pada hujung minggu yang sering menjadi lokasi persinggahan kumpulan penunggang motosikal dan pelancong dari luar daerah.

“Kadang-kadang kami lanjutkan operasi hingga ke petang kerana pelanggan masih terus datang, terutama pada cuti umum,” katanya.

Lebih membanggakan, perniagaan yang bermula dengan hanya sebuah gerai kecil berwarna kuning kini telah berkembang dengan lima pekerja tetap dan turut menyediakan kemudahan seperti surau demi keselesaan pelanggan.

“Syukur alhamdulillah, 20 tahun lebih kami bertahan. Seronok apabila usaha kecil ini bukan saja menyara keluarga, tetapi turut memperkenalkan Rembau sebagai destinasi makanan menarik di Negeri Sembilan,” ujar Ratni lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×