GEORGE TOWN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran melaksanakan Sistem Pemeriksaan Kebersihan Kendiri Premis Makanan Berlesen (i-GRED) dalam usaha membantu kerajaan untuk mencapai sasaran sifar keracunan makanan.
Pengarah Urusan MYEK Global Sdn. Bhd., Datuk Seri Sabaruddin Ahmad berkata, selain PBT dan pemilik premis makanan atau restoran yang terlibat, pihaknya turut membangunkan aplikasi yang sama untuk pengguna bagi membolehkan mereka menilai sendiri tahap kebersihan premis terbabit.
Ujar beliau, ketika ini, sistem i-GRED dilaksanakan secara menyeluruh oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Selangor sejak 2019.
“Sejak sistem i-GRED ini dilaksanakan oleh mereka (MBSA), boleh dikatakan kes keracunan makanan yang dilaporkan di sana hampir tiada atau sifar.
“Ini secara tidak langsung membuktikan keberkesanan sistem tersebut dalam menangani kes-kes seperti ini,” katanya kepada pemberita, semalam.
Selain dilengkapi dengan lebih maklumat terkini mengenai tahap kebersihan premis yang berdaftar, i-GRED juga lengkap dengan pelbagai ciri keselamatan terkini seperti sistem pengesanan global (GPS) yang mengesan kedudukan premis tersebut dan sebagainya.
Dalam pada itu, Sabaruddin memberitahu, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan 50 PBT di seluruh negara sejak awal tahun ini termasuk dua PBT di Pulau Pinang iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Boleh dikatakan hampir kesemua PBT ini telah memberikan maklum balas yang positif terhadap sistem i-GRED,” katanya. – UTUSAN











