Tarian Dabus diubah suai jadi tarikan generasi muda

Tarian Dabus diubah suai jadi tarikan generasi muda

PARA penari pasukan Gen’ Tari dari Sekolah Seni Malaysia Perak (SSEMP) membuat persembahan dalam Pertandingan Dabus Kreasi Sekolah Menengah pada Temasya Budaya@Perak 2025 di Manjung, Lumut semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pertandingan ­tarian tradisi kepahlawanan Perak yang berusia ratusan tahun, Dabus, menjadi antara daya tarikan pengunjung ke Temasya Budaya@Perak 2025 di sini.

Ia kerana pertandingan diadakan itu memberikan fleksibiliti terhadap gerakan tangan dan kaki, yang membolehkan penarinya tidak terikat dengan gaya asal tarian tradisi Perak yang hampir pupus itu.

Acara dinamakan Pertan­dingan Dabus Kreasi Sekolah Menengah yang diadakan di pekarangan Stadium Manjung itu, disertai tujuh pasukan dan dimenangi pasukan Gen’ Tari dari Sekolah Seni Malaysia Perak (SSEMP), yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua pasukan Gen’Tari, Merin Bah Sami, 16, berkata mereka menarikan tarian itu berdasarkan penceritaan srikandi Tun Fatimah, dengan menukar gerakan kaki tarian asal.

“Menerusi kaedah ini, tarian kelihatan lebih menarik dan saya percaya ia perlu dikembangkan lagi bagi menarik minat generasi muda terhadap tarian ini,” katanya di sini semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, ­Hisham Mat Husien, Dabus Kreasi diadakan sebagai usaha menerapkan nilai komersial dan mempelbagaikan gerakan tari, untuk menarik minat orang ramai.

Katanya, keunikan tarian tradisi Perak yang menggunakan peralatan besi yang dicucuk pada tangan ketika menari, harus menjadi kebanggaan rakyat negeri ini dan ditonjolkan kepada masyarakat luar.

Selain itu, temasya selama empat hari bermula Khamis lalu turut menampilkan pelbagai acara berunsur kerohanian termasuk program sambutan Maal Hijrah, doa akhir tahun 1446 Hijrah dan awal tahun 1447 Hijrah serta solat maghrib dan isyak berjemaah.

Turut diadakan ialah cera­mah agama bertajuk ‘Hijrah satu permulaan atau pengakhiran’ oleh pendakwah selebriti, Harryanto Rizal Rokman, selain pertandingan azan di kalangan pelajar sekolah iaitu ‘Muazzin Idol’ serta pertandingan nasyid terbuka menerusi ‘Simfoni Rohani’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini