PETALING JAYA: Syarikat pengangkutan atau pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres tidak boleh lepas tangan berkaitan saman diterima serta perlu bertanggungjawab terhadap kesalahan trafik dilakukan pekerjanya.
Mereka perlu bertanggungjawab memastikan setiap pekerja atau pemandu digajikan sentiasa patuh kepada undang-undang jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini khususnya kemalangan.
Jika dilihat daripada statistiknya, sebanyak 201,243 kemalangan melibatkan kenderaan berat telah berlaku sepanjang tahun 2019 hingga 2024.
Manakala kematian akibat kemalangan membabitkan kenderaan berat adalah berjumlah 4,973 kes dalam tempoh sama.
Pakar Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, alasan pekerja menyorokkan saman tidak boleh diterima kerana sepatutnya syarikat sudah mempunyai mekanisme untuk menangani isu-isu keselamatan jalan raya.
“Sebagai majikan mereka tidak boleh memberikan alasan tidak tahu atau pekerja menyorokkan saman untuk mengelakkan daripada dipertanggungjawabkan atas kesalahan dilakukan.
“Mereka sepatutnya sudah ada mekanisme untuk mengambil tindakan kepada pekerjanya yang cuai dalam mematuhi peraturan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai dakwaan terdapat pemandu menyembunyikan saman sehingga menyebabkan syarikat
KDEB Waste Management Sdn. Bhd. merekodkan 22,017 saman aktif.
Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ mengumumkan senarai 28 buah syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertinggi atas pelbagai kesalahan.
Syarikat KDEB Waste Management Sdn. Bhd. mencatatkan saman aktif tertinggi berjumlah 22,017, manakala syarikat-syarikat bas ekspres mempunyai 5,362 saman paling tinggi dengan Cepat Ekspres Sdn. Bhd. dengan jumlah 540 saman.
Teik Hua berkata, beliau menyokong tindakan Loke yang ‘memburu’ syarikat supaya bertanggungjawab melangsaikan saman dikenakan kerana permit dan kenderaan didaftarkan di atas nama syarikat.
Katanya, tindakan itu merupakan satu mesej jelas kepada semua syarikat logistik supaya lebih bertanggungjawab dan meletakkan pematuhan peraturan jalan raya di tahap tertinggi.
“Syarikat perlu lebih berhati-hati kerana jika kenderaannya terlibat dalam kemalangan, mereka juga akan dipertanggungjawabkan bukan pemandu sahaja.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya kes-kes kemalangan tragis di jalan raya dapat dikurangkan kerana ia merugikan negara,” katanya. – UTUSAN










