PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa tampil memberi penjelasan berhubung isu kekurangan doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan bukan perkara baharu malah telah lama dibangkitkan pihaknya kepada kerajaan.
“Memang wujud cabaran kekurangan tenaga kerja di fasiliti kesihatan awam di seluruh negara, terutama di hospital-hospital besar yang berdepan jumlah pesakit yang tinggi seperti HKL.
“Keadaan ini menyebabkan masa menunggu pesakit menjadi lebih lama untuk mendapatkan rawatan doktor atau pakar, sekali gus memberi tekanan besar kepada petugas kesihatan yang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, tular di media sosial apabila seorang wanita berkongsi pengalaman terpaksa menunggu lebih enam jam sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Ortopedik HKL.
Wanita itu turut mendakwa, seorang doktor memaklumkan kelewatan tersebut berlaku berikutan ramai doktor telah berhenti atau meninggalkan perkhidmatan kerajaan.
Mengulas lanjut, Dr. Kalwinder berkata, MMA telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan berhubung isu itu dan berharap pihak kementerian tidak memandang ringan perkara berkenaan.
Katanya, pengukuhan tenaga kerja dalam sektor kesihatan awam perlu menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan mutu perkhidmatan kesihatan tidak terus merosot.
“Kami berharap KKM terus memberikan perhatian serius dalam usaha memperkukuhkan tenaga kerja kesihatan awam.
“Langkah ini penting bukan sahaja untuk mengurangkan beban tugas doktor dan kakitangan hospital, tetapi juga untuk memastikan rakyat mendapat rawatan yang berkualiti dalam masa yang sewajarnya,” katanya.
Tambahnya, pihak MMA juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam mencari penyelesaian jangka panjang termasuk aspek penempatan, kebajikan dan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada doktor.
“Kerajaan juga perlu segera mempertimbangkan penambahbaikan skim perkhidmatan dan ganjaran bagi mengurangkan penghijrahan doktor ke sektor swasta mahupun ke luar negara.
“Jika isu ini tidak ditangani dengan segera dan menyeluruh, ia boleh memberi kesan besar kepada keseluruhan sistem kesihatan awam dalam jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN











