Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak perlu hidangan mewah, cukup sekadar nasi putih panas, ikan goreng dan sambal belacan sudah memadai dipadankan dengan kerabu ini. Ia pasti membuatkan perut berdendang kekenyangan.
Menariknya dalam resipi kerabu ini, bukan sahaja daun kadok digunakan, malah turut digabungkan dengan daun pegaga dan selom. Perpaduan pelbagai jenis daun ini menjadikan kerabu tersebut lebih enak dan cukup menggoda selera, terutama buat penggemar ulam-ulaman.
Bahan-bahan:
Daun kadok
Daun selom
Daun pegaga
Kacang botol
Bunga kantan
Bawang besar
Udang segar
Asam limau nipis
Garam
Gula
Santan pekat (segar)
Cili padi
Belacan
Cara-cara penyediaan:
Hiris halus semua bahan utama seperti daun kadok, selom, pegaga, kacang botol, bunga kantan dan bawang besar. Ketepikan.
Rebus udang hingga masak, namun jangan terlalu lama agar teksturnya kekal lembut.
Kisar atau tumbuk cili padi bersama belacan, sedikit gula dan garam hingga lumat.
Masukkan campuran kisaran tadi ke dalam santan pekat dan gaul rata hingga sebati.
Perah jus limau nipis ke dalam adunan santan untuk menambah rasa masam.
Jika kuah terlalu pekat, tambahkan sedikit air mengikut keperluan.
Masukkan semua bahan yang telah dihiris tadi beserta udang ke dalam kuah santan.
Tambahkan garam dan gula secukup rasa, dan gaul hingga semuanya rata.
Sedia untuk dihidangkan dan dinikmati, sama ada sebagai pembuka selera atau pelengkap hidangan utama.-UTUSAN











