KOMITMEN institusi ilmu dalam era digital mencerminkan tanggungjawab moral dan intelektual warga universiti serta seluruh ekosistem pendidikan untuk terus menyumbang ke arah peningkatan tahap pemikiran masyarakat secara holistik.
Walaupun dunia didominasi teknologi digital dan kepantasan maklumat, namun bahan bacaan konvensional tetap menjadi teman setia.
Pelbagai bahan bacaan daripada tema yang paling ringan hinggalah kepada wacana beraras tinggi menyajikan pelbagai pengalaman kepada setiap pembaca. Namun, buku ilmiah masih perlu diperjuangkan agar terus mendapat tempat dan perhatian dalam masyarakat.
Usaha memasyarakatkan bahan berilmu merupakan amanah utama pendidik, bukan sekadar memenuhi keperluan kredit pelajar tetapi menyemai budaya ilmu yang meluas dan berakar dalam jiwa masyarakat.
Bahan ilmiah yang diterbitkan bukan sekadar hasil daripada penyelidikan berwibawa, malah menjadi bukti nyata usaha berterusan dalam memugar, meneliti, menyelidik, mendokumentasi dan menerbitkan warisan ilmu. Usaha ini terus bernadi dan diperkasakan pelbagai pihak demi memastikan legasi keilmuan dapat diwarisi generasi masa hadapan.
Sebahagian usaha ini mungkin bermatlamat memenuhi keperluan penganjuran geran, namun dengan pentadbiran pendidikan yang mapan, penerbitan hasil kajian dalam bentuk buku ilmiah mampu menjadi pemangkin pembentukan masyarakat Malaysia yang berfikir pada aras tinggi. Seperti yang diungkapkan pemikir agung Islam, Imam Al-Ghazali, “Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, dan amal tanpa ilmu adalah sesat”.
Sesekali, kita sebagai golongan dewasa wajar merenung dan menilai semula cara kita memahami, menghayati serta menunjukkan teladan kepada anak-anak tentang konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), sedangkan bahan-bahan ilmiah itu sendiri belum pernah menyinggah dalam atlas bacaan kita.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh signifikan, mencerminkan wawasan besar terhadap masa hadapan dunia keilmuan dan budaya membaca.
Manakan tidak, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi isyarat cukup jelas – tanpa budaya membaca dan kekuatan ilmu, daya fikir anda tidak akan memperkasakan Malaysia!
Buku merupakan sumber utama menzahirkan kita sebagai bangsa Malaysia yang bukan sahaja menguasai ilmu tetapi semakin tinggi akal budinya.
Tahniah kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia khususnya kepada Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd. Khair Ngadiron dan pasukan yang sentiasa sahaja bertenaga dan kreatif dalam penganjuran pameran tersebut setiap tahun.
Tahniah dan syabas kepada 230 pempamer tempatan dan 28 antarabangsa yang pastinya pulang dengan memori manis, dikelilingi lautan buku dan pengunjung setia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, lokasi keramat pencinta buku.
Kehadiran 2.16 juta pengunjung meletakkan PBAKL sebagai antara acara literasi terbesar di rantau ini. Lebih daripada sekadar ruang jual beli buku, PBAKL berfungsi sebagai medan intelektual yang menghimpunkan pemikir, penulis, penerbit dan pencinta ilmu dalam suasana dinamik.
Acara seperti sesi bedah buku, pertemuan bersama penulis dan pelancaran karya terbaharu menandakan wacana ilmu masih mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapatkan buku pada harga istimewa, malah dapat berdialog secara langsung dengan penulis dan pendekatan ini merupakan peluang langka dalam dunia penerbitan akademik.
Dalam konteks ilmu sebagai jalan perluasan dan meningkatkan nilai keinsanan, kita teringat kepada kata-kata ahli falsafah Jerman, Immanuel Kant, yang menyatakan: “Sapereaude!” (Beranilah untuk mengetahui).
Kant percaya pencerahan bermula apabila manusia berani keluar daripada kejahilan dengan menggunakan akal secara luas. PBAKL secara tidak langsung menjadi simbol pencerahan moden iaitu membuka jalan kepada masyarakat untuk mendekati ilmu, mempersoalkan dunia dan mencari makna hidup yang lebih mendalam.
Begitu juga, tokoh falsafah pendidikan dari Brazil, Paulo Freire berkata pendidikan dan literasi bukan sekadar membaca huruf, tetapi membaca realiti sosial. Dalam semangat ini, PBAKL memperlihatkan peranan buku sebagai alat pembebasan, mencerdaskan minda dan memanusiakan insan.
Perdana Menteri turut memberi penekanan kepada institusi buku untuk terus giat meluaskan serta menghidupkan budaya membaca dan berfikir. Buku tidak diamnya hanya di rak-rak buku, sebaliknya kandungannya mesti dipindahkan ke dalam minda masyarakat. Institusi buku perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan kaedah agar tidak semata-mata menguruskan sahaja bahan-bahan sumber ini.
Semua ini bertujuan untuk meningkatkan keterampilan rakyat melalui literasi, bukan hanya membaca, menulis, bertutur dan mengira tetapi juga bagaimana elemen-elemen ini membina daya pemikiran aras tinggi dalam memecahkan masalah, berdasarkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh daripada amalan pembacaan dalam masyarakat.

BERKEMBANG
Literasi kini merangkumi pelbagai bidang seperti media, sains, teknologi dan globalisasi. Pembudayaan jati diri yang kukuh penting bagi memandu individu menghadapi ledakan literasi era moden.
Ledakan literasi ini dipacu pelbagai keperluan dan matlamat berorientasikan ekonomi, khususnya dalam penerbitan serta pasaran teknologi. Oleh itu, kita semua perlu sentiasa bijak menilai dan menapis kewajaran agar usaha memajukan ilmu dapat dijalankan dengan tuntas serta berkesan.
Kami yakin, penyebaran ilmu melalui buku bukan sekadar rangkaian huruf di atas kertas tetapi amal jariah intelektual yang menabur benih kefahaman dan hikmah ke dalam jiwa setiap pembaca.
PBAKL 2025 bukan hanya pesta jualan buku tetapi medan penyatuan insan literasi.
Kehadiran jutaan pengunjung adalah isyarat jelas minat terhadap buku dan ilmu masih subur.
Semoga pesta ilmu ini terus menjadi jambatan penyatuan antara akal, hati dan budaya, selaras dengan cita-cita para filsuf — dunia yang dipimpin ilmu, digerakkan hikmah serta disemai nilai kemanusiaan.
Tahniah, Malaysia, teruskan mengekalkan semangat membaca!-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).










