Saman: Syarikat perlu bertanggungjawab

Saman: Syarikat perlu bertanggungjawab

ANTHONY Loke Siew Fook (tiga dari kiri) menunjukkan Pas My50 pada sidang akhbar di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FATIN NORIZATI MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pengangkutan atau pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres perlu bertanggungjawab menjelaskan saman kerana permit dan kenderaan didaftarkan atas nama syarikat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, isu pemandu tidak memaklumkan saman kepada majikan bukan alasan untuk mengelak tanggungjawab membayar saman.

Katanya, tindakan menyalahkan pemandu seolah-olah cuba melepaskan tanggungjawab sedangkan permit kenderaan dikeluarkan kepada syarikat, bukan individu.

“Saman tetap saman. Permit dikeluar­kan kepada syarikat, bukan pemandu. Kita tidak boleh terima alasan seperti itu. Bila permit milik syarikat, syarikat perlu bertanggungjawab penuh.

“Apabila kenderaan disaman, syarikat pemilik tetap perlu bertanggungjawab, tidak kira siapa yang pandu lori atau bas itu.

“Pengawasan terhadap pemandu juga terletak di bawah kawal selia sepenuh­nya pihak pengurusan syarikat dan bukan tanggungjawab Jabatan Pengangku­tan Jalan (JPJ),” katanya pada sidang akhbar pengumuman pendigitalan Pas MY50 di Stesen KL Sentral, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat pemandu menyembunyikan saman sehingga menyebabkan syarikat KDEB Waste Management Sdn. Bhd. merekodkan 22,017 saman aktif.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ mengumumkan senarai 28 buah syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertinggi atas pelbagai kesalahan.

Syarikat KDEB Waste Management Sdn. Bhd. mencatatkan saman aktif ter­tinggi berjumlah 22,017, manakala syarikat-syarikat bas ekspres mempunyai 5,362 saman paling tinggi dengan Cepat Ekspres Sdn. Bhd. dengan jumlah 540 saman.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pengurusan dalaman syarikat harus bertanggungjawab memantau rekod saman serta mengurus pemandu dengan lebih berkesan agar kesalahan tidak berulang.

“Kalau ada pemandu sembunyikan saman, itu urusan syarikat untuk pastikan sistem pemantauan mereka cekap.

“Apa yang penting, kerajaan melalui JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan terus memperketat pemantauan dan audit ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai rekod saman tinggi, terutama pesalah berulang,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai pendigitalan Pas MY50, Anthony Loke berkata, pengguna Pas My50 tidak lagi perlu beratur panjang di kaunter bermula 1 Julai ini apabila urusan pembaharuan boleh dilakukan terus menerusi aplikasi Touch ‘n Go e-Wallet.

Katanya, langkah pendigitalan itu membolehkan pengguna memperbaharui pas perjalanan tanpa had tersebut secara digital tanpa perlu menunjukkan MyKad seperti kaedah sebelum ini.

Menurutnya, inisiatif pendigitalan itu membolehkan proses pembaharuan dilakukan sepenuhnya secara dalam talian, hanya dengan melalui proses pengesahan e-KYC (electronic Know Your Customer) bagi membuktikan status warganegara.

“Pengguna kini boleh memperbaharui Pas My50 terus dari telefon pintar tanpa perlu menunjukkan MyKad atau beratur di kaunter.

“Semua boleh dilakukan secara digital melalui telefon pintar. Pengguna juga dapat memudahkan perjalanan dan menjimatkan masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pembaharuan pas MY50 kini boleh dilakukan dalam beberapa saat sahaja melalui aplikasi e-Wallet.

Katanya, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi mempertingkat kecekapan dan pengalaman pengguna pengangkutan awam selain menyokong agenda digital dan penggunaan tanpa tunai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×