PETALING JAYA: Malaysia berhadapan kegawatan ekonomi lebih buruk dan deflasi sekiranya sektor ekonomi ditutup di samping memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sebagai langkah drastik mengekang penularan Covid-19.
Malah, keadaan dijangka bertambah buruk apabila banyak syarikat terpaksa menggulung tikar sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah pengangguran sekali gus menjerumuskan negara kepada masalah sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Fakulti Kewangan dan Pentadbiran Perniagaan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), Prof. Dr. Barjoyai Bardai menjelaskan, unjuran ekonomi negara yang dikatakan kekal pada paras 6.1 peratus tahun ini akan gagal sekiranya kerajaan melaksanakan PKP penuh di seluruh negara.
Katanya, situasi itu bakal meletakkan negara dalam kancah kegawatan ekonomi sekali gus menyaksikan lebih banyak perniagaan terpaksa menutup perniagaan manakala pengangguran semakin meningkat.
“Saya pula menjangkakan ekonomi hanya berkembang kepada empat peratus sahaja jika melihat kepada cara pengurusan menangani Covid-19 tidak memberangsangkan berbanding negara-negara lain yang dilihat berjaya mengawalnya.
“Lebih setahun negara dilanda kemelesetan ekonomi namun sehingga kini tiada tanda-tanda pemulihan, apatah lagi ditambah ura-ura akan mengadakan lockdown menyeluruh, sudah pasti ia bertambah parah,” katanya.
Sebelum ini pelbagai pihak mendesak kerajaan agar menutup sektor ekonomi apabila melihat kepada jangkaan Kementerian Kesihatan bahawa kes positif Covid-10 dijangka mencecah angka 8,000 sehari di samping tercetusnya varian virus baharu.
Gesaan itu disambut menerusi kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang mencadangkan untuk melaksanakan PKP penuh di Selangor apabila negeri itu mencatatkan jangkitan empat digit pada setiap hari.
Dalam masa sama, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari tidak menolak kemungkinan Malaysia berhadapan deflasi atau harga umum barang dan perkhidmatan seandainya PKP penuh akibat penurunan permintaan.
Sebaliknya kata beliau, keadaan itu bergantung kepada sejauh mana tempoh pelaksanaan PKP penuh dan sektor mana yang ditutup.
“Tapi saya tidak merasakan kerajaan tidak berhasrat melaksanakan ‘total lockdown’ kerana pihak berkuasa tidak mahu menjejaskan produktiviti dan ekonomi negara apatah lagi membabitkan sektor-sektor penting.
“Kalau ada sekalipun mungkin dalam sementara sahaja tetapi tidak boleh berpanjangan lama sangat seperti PKP1.0 pada awal 2020,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










