SEOUL: Seorang pemandu kereta api, Kim Young-hoon, 57, dicalonkan sebagai Menteri Pekerjaan dan Buruh dalam Kabinet baharu Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung.
Pengumuman itu dibuat ketika Young-hoon sedang mengendalikan kereta api dari Gimcheon ke Busan pada Ahad lalu.
Beliau hanya mengetahui mengenai pencalonan itu kira-kira sejam selepas berita tersebar, setelah menamatkan syif dan tiba di Gimcheon, wilayah Gyeongsang Utara.
Rakan Young-hoon memaklumkan bahawa beliau dicalonkan untuk mengisi jawatan penting itu, menurut laporan agensi berita Yonhap.
Jika diluluskan, Young-hoon akan menjadi pekerja buruh pertama dalam sejarah Korea Selatan yang mengetuai Kementerian Pekerjaan dan Buruh.
Pencalonan oleh Presiden Jae Myung, yang berhaluan liberal, menerima pelbagai reaksi masyarakat, termasuk pujian atas usaha memperkukuh penglibatan pekerja dalam barisan kerajaan.
Bagaimanapun, sebahagian pihak juga meragui keupayaan Young-hoon yang berasal daripada latar belakang bukan birokratik.
Pencalonannya mencetuskan perbincangan hangat mengenai peranan golongan pekerja dalam pembentukan dasar negara, sekali gus mencabar norma tradisi pemilihan menteri daripada kalangan teknokrat dan ahli politik.
Young-hoon mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam aktivisme buruh, termasuk mengetuai Konfederasi Kesatuan Sekerja Korea (KCTU) dari 2010 hingga 2012.
KCTU merupakan kumpulan buruh terbesar di Korea Selatan, yang mewakili kira-kira 1.2 juta pekerja.
Young-hoon, yang perlu melalui sesi pendengaran pengesahan di Parlimen, merupakan ahli KCTU pertama yang dicalonkan sebagai menteri buruh.
Sejak kementerian itu ditubuhkan pada 2010, jawatan tersebut lazimnya diisi oleh pegawai kerajaan, pentadbir, ahli akademik dan pakar perundangan.










