KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Leong Jun Hao bersedia menggalas tugas sebagai perseorangan lelaki No. 1 Malaysia selepas Lee Zii Jia kehilangan posisinya itu dalam senarai ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Anak jati Kuala Lumpur berusia 25 tahun itu berkata, untuk menggalas tugas sebagai pemain No. 1 negara bukan mudah dan tekanan sudah pasti mengiringinya.
“Saya rasa tekanan pasti ada, tetapi, dalam masa sama bagi saya ia merupakan satu cabaran dan suntikan semangat buat diri saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.
Jun Hao kini menghuni ranking No. 25 dunia, manakala, jaguh No. 8 dunia, Zii Jia yang ditimpa kecederaan lutut dan terpaksa berehat selama tiga bulan sejak Mac lalu mengalami kemerosotan ranking ke tangga No. 28 dunia.
Namun begitu, Zii Jia mendapat perlindungan ranking dalam tempoh setahun daripada BWF yang membolehkannya beraksi dalam kejohanan-kejohanan utama sebaik pulih daripada kecederaan dengan menggunakan ranking lamanya.
Ketika ditanya pula mengenai persediaan bagi menghadapi Terbuka Jepun dan Terbuka China, bulan depan, Jun Hao berkata, dia telah membuat persiapan selama sebulan setengah kerana tiada pertandingan dalam tempoh tersebut.
“Jadi penting untuk saya membuat persediaan dari segi fizikal dan juga permainan di dalam gelanggang yang perlu diberi pendekatan baharu untuk memantapkan lagi prestasi,” katanya.
Katanya, memandangkan rehat yang terlalu panjang, dia tidak meletakkan sebarang sasaran menjelang kedua-dua kejohanan itu bagi mengelak tekanan yang tidak diundang.
“Kalau boleh saya mahu fokus satu demi satu, jika saya letak sasaran, fikiran saya akan terganggu dan akan terlalu memikirkan tentang sasaran pula,” katanya.
Mengulas pula mengenai corak latihan yang diterapkan oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen, Jun Hao berkata, dia memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian terutamanya pada awal musim.
Bagaimanapun, kata Jun Hao, dia kini semakin mendapat rentak dan persefahaman dengan apa yang dimahukan jurulatih kelahiran Denmark itu serta berharap dapat mengguna pakai ilmu yang dipelajarinya ke dalam kejohanan akan datang. – UTUSAN











